Categories
SELANGOR

Penantian 3 keluarga pampasan hak milik berakhir

OLEH SHEEDA FATHIL

SEKINCHAN, 27 FEB: Penantian tiga keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan berakhir apabila berjaya menerima pampasan hak milik tanah selepas sembilan tahun menanti.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjaya menyelesaikan masalah itu dengan membangunkan tiga buah rumah kepada mereka sebagai ganti.

“Sebelum ini, rumah mereka terpaksa dirobohkan kerana PKNS ingin membangunkan sebuah projek pembangunan apartment di tanah berkenaan berhampiran Balai Polis Sekinchan.

“Pada masa itu, Kerajaan Negeri berjanji untuk memberikan pampasan kepada tiga keluarga berkenaan dengan mengusahakan tanah ini supaya diberi geran hak pemilikan,” katanya.

Suee Lim berkata, walaupun terdapat banyak rintangan bagi mendapatkan hak milik tanah kepada mereka namun Kerajaan Negeri tetap berjaya menyelesaikannya.

“Sebenarnya tanah mereka duduki sebelum ini adalah tanah rizab jalan iaitu hak milik Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) namun kita berjaya menguruskan kekangan ini langkah demi langkah.

“Selepas sembilan tahun atas usaha saya, Kerajaan Negeri bersama Pejabat Tanah Daerah (PTD) berjaya kotakan janji kepada mereka,” katanya.

Katanya selepas menyerahkan borang kelulusan 5A kepada tiga keluarga berkenaan di kediaman baru penerima itu, di sini, hari ini.

Suee Lim berkata, beginilah cara Kerajaan Negeri membela nasib rakyat tidak kira Cina, India, Melayu iaitu apabila berjanji mestilah ditunaikan.

Sementara itu, Suee Lim berkata, syarat turut dikenakan terhadap ketiga-tiga pemilik itu iaitu mereka tidak boleh menyewakan rumah berkenaan kepada orang lain.

“Menariknya, Kerajaan Negeri turut menawarkan insentif bayaran premium RM1,000 sahaja dimana belum ada mana-mana Kerajaan Negeri yang mampu melaksanakan insentif sedemikian.

“Bagaimanapun, saya ucapkan tahniah kepada ketiga-tiga penerima kerana berjaya memiliki kediaman yang lebih selesa ini,” katanya.

Sementara itu, Rabas Sanderek Munisamy ,53, berkata, beliau gembira kerana selepas sembilan tahun menanti akhirnya berjaya memiliki rumah yang lebih selesa daripada sebelum ini.

“Sebelum ini belum pernah menerima geran hak milik tanah sedangkan sudah hampir 40 tahun menetap di kediaman itu,” katanya.

Malah, Ratnom Munisamy, 60, berkata, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana peduli dengan nasib rakyat.

“Saya dan keluarga gembira dan tidak sangka mendapat rumah yang sangat luas dan selesa seperti ini berbeza berbanding kediaman sebelum ini,” katanya.

=EZY=