Categories
SELANGOR

Polis tumpu jenayah curi motosikal

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 9 FEB: Polis sedang memberi tumpuan menangani kes kecurian motosikal, di daerah ini yang semakin meningkat dalam tempoh sebulan, bermula Januari hingga awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, polis menjalankan semua kaedah pencegahan sama ada bagi mengesan mahupun menangkap penjenayah kes curi motosikal.

“Tumpuan kita adalah di kawasan flat yang kerap menjadi sasaran jenayah curi motosikal berkenaan.

“Kita mendapati kecurian bukan sahaja membabitkan motosikal baharu, malahan motosikal lama turut menjadi sasaran penjenayah,” katanya lapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian kepada media pada majlis pelancaran Op Selamat ke-12 sempena Tahun Baru Cina 2018 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, hari ini.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengunci kenderaan masing-masing selain meletak kenderaan di kawasan parkir yang selamat.

“Jangan tinggalkan kenderaan tanpa berkunci atau dalam keadaan enjin hidup kerana ia memberi peluang kepada penjenayah melarikan kenderaan ketika kita alpa,” katanya.

Op Selamat ke-12 berlangsung selama dua minggu bermula hari ini sehingga 23 Februari dengan mengekalkan tema “Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi.”

*Gambar: Sinar Harian