Categories
AGAMA EKONOMI SELANGOR

RM50 juta jayakan hab halal, lahir tenaga mahir industri

OLEH HAFIZAN TAIB

BANDAR BARU BANGI, 11 FEB: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM50 juta ke arah menjayakan Hab Halal termasuk melahirkan tenaga mahir bagi kemajuan industri berkaitan di Selangor.

Sehubungan itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata disasarkan lebih kurang 200 tenaga mahir dilahirkan menerusi Program Halal Technical Competent Person (HTCP) diadakan pada tahun ini.

“Ia adalah program sangat besar dijalankan dan peruntukan disediakan Kerajaan Negeri sebahagiannya bagi mencapai matlamat berkenaan.

“Dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) dan KUISCELL Sdn Bhd (KUISCELL) diharap mengukuhkan lagi kemahiran diperlukan dalam industri ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Program Latihan Pembangunan dan Kapasiti Industri Dagangan Halal serta penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara HIS dan KUISCELL.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya, Kerajaan Negeri merancang penyertaan pegawai di beberapa jabatan yang terbabit dengan industri halal bagi mengikuti latihan berkenaan seterusnya di peringkat pihak berkuasa tempatan dan lainnya.

“Industri ini berpotensi besar dengan pasaran luas di peringkat global.

“Bagi tujuan itu, kita juga mewujudkan Majlis Halal Selangor serta Central Spectrum (M) Sdn Bhd,” katanya.

Turut sama, Pengarah HIS, Dato’ Mahmud Abbas dan Timbalan Rektor (Akademik & Penyelidikan) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Dr Mokmin Basri.

=EZY=