Categories
SELANGOR

Tiada krisis dalam PAKATAN

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 18 FEB: Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei menolak dakwaan segelintir pihak berhubung krisis dalaman antara parti komponen dalam Pakatan Harapan (PAKATAN).

Sebaliknya, beliau berkata, ia lebih kepada luahan pendapat masing-masing dengan setiap parti memiliki kaedah tersendiri untuk melakukannya.

“Saya tidak lihat ia sebagai krisis, melainkan pentadbiran yang cukup telus dengan setiap parti komponen ada cara tersendiri.

“Suasana itu sekali gus mewujudkan keadaan yang sedikit keras sehingga musuh politik mula mengambil kesempatan untuk mencipta propaganda,” katanya ketika ditemu bual Sinar Harian.

Shuhaimi berkata, sejak PAKATAN ditubuhkan, fokus gabungan itu adalah menguatkan jentera dan menganjurkan konvensyen sebagai medan luahan pandangan.

Katanya, di Selangor, PAKATAN mengorak langkah pantas dengan terus memfokuskan agenda kebajikan rakyat walaupun terkait beberapa isu kecil.

“Jika diberi peluang mentadbir selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), saya yakin mandat itu akan dibalas dengan perkhidmatan jauh lebih baik dengan apa dinikmati sekarang,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri Sri Muda.