OLEH SYAZWANI SUFIAN
SHAH ALAM, 16 MAC: SelangorKini dan TV Selangor menerima Anugerah MPK Care 2018 bagi kategori media sebagai penghargaan membantu Majlis Perbandaran Klang (MPK) membuat hebahan serta promosi gerak kerja majlis itu.
Media rasmi Kerajaan Negeri itu salah salah satu daripada 36 penerima anugerah melalui lima kategori yang disampaikan Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin, bersama Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, di Pusat Konvensyen Shah Alam, semalam.
Yasid berkata, pihaknya menyanjung tinggi agensi kerajaan, pemaju, syarikat korporat, media, badan bukan kerajaan dan individu yang banyak memberi sumbangan serta keprihatinan dalam membantu mewujudkan Klang sebagai bandar raya terbilang.
“Anugerak MPK Care ini diharap dapat terus mendorong semua pihak memberikan kerjasama sebagai satu pasukan dengan MPK.
“Selain itu, penyampaian anugerah ini mampu menerapkan nilai murni dan budaya kerjasama dalam kalangan semua agensi, majlis serta masyarakat ke arah bandar raya harmoni juga selesa,” katanya.
Difahamkan, program itu adalah penganjuran kali ketiga yang dahulunya ia dikenali sebagai Majlis Anugerah MPK Prihatin.
Sementara itu, Elizabeth berkata, beliau menyokong usaha itu untuk memastikan cabaran yang wujud dapat diatasi bersama.
“Kejayaan yang dicapai MPK pada hari ini juga memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak.
“Antaranya, MPK berjaya menghasilkan buku penulisan berkenaan Sejarah dan Warisan Klang Bandar Diraja sebagai produk warisan untuk terus menarik pelancong, ke bandar raya ini,” katanya.