Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Akid sedia cabar rakan sepasukan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 MAC: Pertembungan juara dalam satu pasukan, tidak menggusarkan pendatang baharu CP150, Md Akid Aziz menghadapi pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2018 di Litar Lumba Tangkak, Johor, 31 Mac dan 1 April ini.

Juara berganda CP115 2016 dan 2017 itu bakal beralih ke kategori terbabit yang menyaksikan dia akan bergandingan bersama juara CP130 2017 dan CP150 2017, Kasma Daniel Kasmayuddin serta juara CP115 2010, Mohd Ramdan Rosli, di dalam pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.

“Situasi ini agak mencabar namun pada masa sama sangat menarik kerana selain bersaing sengit bersama pelumba berpengalaman lain, kami saling mencabar di dalam satu pasukan untuk mendapatkan yang terbaik,” katanya yang juga juara Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) 2017.

Katanya, biarpun bertindak selaku pelumba ‘rookie’, beliau tidak tertekan kerana sudah biasa mengendalikan jentera 150cc di peringkat Asia menjadikannya tidak menghadapai masalah untuk beraksi dengan jentera Yamaha Y15ZR.

Beliau berkata, berbeza litar di peringkat di Asia yang lebih lebar, litar Cub Prix lebih pendek dan selekoh lebih sempit dan sangat mencabar.

“Kalau di litar saya terpaksa ‘berlawan’ dengan Kasma dan Ramdan, namun di paddock saya akan banyak belajar dan bertanya kepada mereka,” katanya.