Categories
AGAMA SELANGOR

Exco rasmi Karnival Kampungku KesayanganKu edisi ke-30

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU LANGAT, 24 MAC: Selepas empat tahun penganjuran, Program Jelajah Karnival KampungKu KesayanganKu (3K) memasuki edisi ke-30, malam tadi.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa & Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata program ini menjadi salah satu medan membawa jabatan dan agensi Kerajaan Negeri turun kepada masyarakat di desa-desa seluruh Selangor.

“Program 3K telah memasuki tahun keempat penganjurannya sejak Mac 2015 dengan 3K telah menjelajah di 30 DUN berlainan sepanjang tempoh tersebut dan alhamdullilah 3K kini telah diterima sebagai program memasyarakatkan Kerajaan Negeri dengan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian 3K di Padang Awam Batu 14, di sini malam tadi.

Jelasnya, program 3K juga bertujuan merangsang agenda pemerkasaan Islam dengan menjadikan masjid sebagai tapak lokasi program dengan kepelbagaian program yang boleh membina kekuatan dan kesepakatan umat Islam setempat.

Katanya, program 3K juga turut menjadi platform mempromosikan produk halal usahawan desa untuk dikembangkan sebagai produk bertaraf nasional.

“Sesetengah daerah juga mempunyai potensi untuk menjadi produk pelancongan yang boleh menarik pelancong dalam dan luar negara,” katanya lagi.

Katanya lagi, program 3K tahun ini bertemakan ‘Habluminal Alam’ (hubungan dengan alam sekitar) dengan kempen ‘Desaku Bebas Sampah Jalanan’ bagi meningkatkan lagi kesedaran awam.

“Menjaga kestabilan ekologi merupakan salah satu cara menjaga hubungan dengan alam, begitu juga menjaga persekitaran dan kesegaran udara kerana kita bergantung dengan udara untuk hidup tetapi udara kita sudah tercemar,” katanya lagi.

Terdahulu, Ahmad Yunus merasmikan program 3K peringkat Hulu Langat sambil disaksikan kira-kira 500 penduduk tempatan yang hadir.

=EZY=