Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Hari Terbuka UNISEL 4.0 kembali lagi!

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 12 MAC: Buat julung kalinya Universiti Selangor (UNISEL) akan mengadakan Hari Terbuka Unisel 4.0 dengan mensasarkan lebih 40,000 pengunjung, di Kampus Bestari Jaya, bermula 16 hingga 18 Mac ini.

Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Mohd Redzuan Othman berkata, kali ini pihaknya mengadakan hari terbuka secara besar-besaran dengan penambahan pelbagai aktiviti menarik untuk tarikan pengunjung.

“Tahun ini, kita menekankan tema kebudayaan dan sukan dimana iaitu satu tarikan yang menarik khusus untuk anak muda dengan kerjasama Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan.

“Tujuan kita adalah untuk memperkenalkan kepada masyarakat taransformasi UNISEL iaitu universiti kita kini sudah berubah dengan imej dan penampilan yang baru lebih ceria serta menawarkan pelbagai program untuk masyarakat setempat,” katanya kepada Selangor Kini.

Prof Redzuan berkata, pada hari terbabit pihaknya akan menganjurkan program yang bukan hanya membabitkan UNISEL, malahan dengan kerjasama pihak lain seperti penganjuran program bersama orang kelainan upaya (OKU), pembabitan sukan bersama Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan anjuran #QuranHour.

Katanya, tarikan terbesar hari terbuka itu adalah pertandingan memancing dengan UNISEL menawarkan ganjaran keseluruhan RM20,000 kepada pemenang.

“Selain itu, aktiviti lain yang diadakan adalah tarik tali, bola sepak, street soccer, bola jaring, bola keranjang, dodgeball, drumline battle, extreme run, kabbadi, paintball dan ragbi.

“Bukan itu sahaja, turut disediakan pelbagai hidangan serta juadah menarik yang akan dijual pada hari terbabit termasuk pesta durian kampung, mee kawah, char kuey teow dan burger grill.

“Kita berharap melalui hari terbuka ini, masyarakat dapat menilai bagaimana komitmen Kerajaan Negeri terhadap pendidikan dan UNISEL sebagai model contoh terbaik,” katanya.

Pada masa sama, turut diadakan pemberian baucer HIJRAH yang bakal disampaikan sendiri oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, pada 18 Mac ini.