OLEH SYAZWANI SUFIAN
SHAH ALAM, 9 MAC: Institut Wanita Berdaya (IWB) mengadakan Sambutan Hari Wanita Sedunia 2018 bertemakan #pressforprogress selari dengan sambutan hari wanita seluruh dunia.
Pengerusi IWB, Zuraida Kamaruddin berkata, mesej #pressforprogress bermaksud mendesak kemajuan untuk kaum wanita supaya tidak terus dipinggir dalam sektor pembangunan negara.
“Cabaran masa kini, wanita seluruh dunia berhadapan dengan masalah kesetaraan gender yang tidak seimbang daripada sudut ekonomi, pendidikan, kesihatan dan politik.
“Antaranya, tanggungjawan menjaga keluarga bukan hanya tertakluk kepada wanita, malahan kaum lelaki juga memainkan peranan besar sama seperti isu menjaga ibu bapa yang uzur seolah-olah terdapat satu stigma bahawa tugas itu tanggungjawab anak perempuan,” katanya dalam majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2018, di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi.
Sementara itu, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, tema itu juga amat sesuai dengan keadaan sekarang kerana masih terdapat masyarakat menidakkan keupayaan wanita dalam konteks pemberdayaan dan inklusiviti.
“Sebab itu, Kerajaan Negeri memberi peruntukan besar untuk IWB supaya kita dapat lihat perubahan positif untuk generasi akan datang bukan hanya melihat tugas hakiki wanita terangkum, di rumah sahaja.
“Dengan kejayaan IWB, kita berharap wanita akan dapat memberikan aspirasi kepada seluruh masyarakat dalam keterlibatannya dalam pembangunan negara,” katanya.
Daroyah juga menggesa syarikat swasta, GLC negeri,PBT, organisasi wanita dan individu turut sama melaksanakan dasar serta polisi lebih mesra wanita bagi mengubah persepsi juga memberikan kehidupan lebih seimbang antara kerjaya selain keluarga.