Categories
AGENSI SELANGOR

Akademi Kepimpinan Wanita gilap potensi dalam politik, pentadbiran

SHAH ALAM, 29 OGOS: Akademi Kepimpinan Wanita (AKW) Selangor menggilap bakat peserta mendalami lapangan politik dan kerja sosial di peringkat negeri.

Ketua pegawai eksekutif Institut Wanita Berdaya (IWB) berkata peserta dilatih oleh mentor masing-masing supaya lebih berani dan yakin selain cekap memimpin sesebuah organisasi.

“Sambutan diterima amat menggalakkan, namun jumlah terpaksa dihadkan 100 orang. Program menyasarkan peserta berusia 21 hingga 50 tahun yang berasal atau bermastautin di Selangor lebih tiga tahun,” kata Siti Kamariah Ahmad Subki ketika dihubungi.

Beliau berkata akademi tersebut mempunyai empat modul merangkumi 12 subjek gabungan kuliah fizikal, pembelajaran dalam talian dan kerja lapangan selama 18 bulan.

“Menariknya usai tamat pembelajaran, mereka berpeluang sambung atau memohon pekerjaan di Selangor atau mana-mana pusat khidmat masyarakat mentor masing-masing,” jelas Siti Kamariah lagi.

Belanjawan 2020 memperuntukkan RM500,000 untuk melatih 100 pelajar yang boleh memohon biasiswa pembelajaran sepanjang hayat di bawah IWB dengan kerjasama Open University Malaysia.

Categories
AGENSI SELANGOR

IWB: Lebih produktif, peniaga diseru manfaat sistem digital

SHAH ALAM, 4 APRIL: Peniaga diseru memanfaatkan sistem digital susulan pembatalan bazar Ramadan tahun ini, kata pengerusi Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor.

Juwairiya Zulkifli berkata teknologi dalam talian membantu meningkatkan kecekapan urusan niaga, menjimatkan kos dan masa serta lebih produktif.

“Ekonomi digital memberi peluang sama rata kepada semua tidak kira seseorang itu mengusahakan perniagaan makanan dan hasil tani secara kecil-kecilan atau berskala besar.

“Peniaga boleh menjual barangan melalui kaedah yang lebih kreatif dan inovatif, mula-mula memang kekok tetapi lama-kelamaan ia menjadi kebiasaan,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati kepada SelangorKini, hari ini.

Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 yang dibentangkan 1 April lalu memperuntukkan RM100.7 juta untuk industri digitalisasi bagi mengimbangi pentadbiran negeri susulan Covid-19.

Sehubungan itu, seramai 16,584 peniaga terkesan digalak membudayakan digitalisasi bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan sepanjang Ramadan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tiada perlindungan dorong peningkatan keganasan rumah tangga

SHAH ALAM, 28 OGOS: Tiada tempat berlindung, bantuan kewangan dan sokongan antara penyumbang kepada peningkatan kes keganasan rumah tangga hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Wanita Berdaya (IWB), Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, desakan itu menyebabkan mangsa akhirnya memilih untuk kembali ke pangkuan suami masing-masing.

“Dalam komuniti sosial, stigma mangsa ke pusat perlindungan untuk meneruskan hidup tetapi apa yang berlaku? Pusat perlindungan kebanyakannya tiada dana.

“Oleh itu, mangsa terpaksa kembali kepada suami dan keluarga yang mendera mereka,” katanya pada Sesi Perbincangan Meja Bulat IWB Selangor, di sini, baru-baru ini.

Untuk rekod, lebih 30,000 kes keganasan rumah tangga dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia, sejak 2013 hingga 2018.

Namun, 85 peratus daripadanya tidak dipanjangkan kepada pusat perlindungan bagi pembelaan lanjut.

Sementara itu, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Kerajaan Negeri komited mencari solusi bagi menangani isu keganasan rumah tangga yang tidak berkesudahan, pada masa kini.

Beliau berkata, pihaknya sedang meneliti dan membuat penyelidikan membabitkan keperluan serta kesediaan pengaksesan pusat perlindungan mangsa.

“Kes keganasan domestik di Selangor antara yang paling membimbangkan dalam kalangan 14 negara Asia Pasifik bagi keselamatan wanita.

“Kes keganasan rumah tangga ini menjadi kompleks dan tidak berkesudahan kerana apabila laporan dibuat, mangsa kemudian menarik semula ekoran tidak mendapat perlindungan serta sokongan yang sepatutnya,” katanya.

Katanya, sehingga Mac tahun ini, sebanyak 43 tempat berlindung ditetapkan sebagai tempat selamat di Malaysia, dengan 35 daripadanya diuruskan Jabatan Kebajikan Malaysia, manakala tujuh lagi oleh badan bukan kerajaan.

“Hanya pusat perlindungan yang penubuhannya kuat dan berpengalaman luas sahaja berani memberi perlindungan,” katanya.

Categories
SELANGOR

IWB bakal laksana 133 program Jaringan Muafakat Wanita Berdaya

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 APRIL: Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor bakal melaksanakan 133 program Jaringan Muafakat Wanita Berdaya di tujuh lokasi terpilih sekitar negeri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, program itu julung kali diadakan di Kuala Selangor, pada 30 Mac lalu diikuti beberapa kawasan di Dengkil, Kapar, Kuala Langat dan tiga lokasi Felda terpilih sekitar Selangor, pada masa akan datang.

Katanya, program itu bertujuan meningkatkan martabat dan memperkasakan kaum hawa khususnya di kawasan luar bandar melalui kesedaran sivik dan pendidikan yang spesifik membentuk jati diri wanita berilmu, berpengetahuan serta berkeyakinan.

“Pihak kami turut memfokuskan lapan tajuk antaranya kesihatan dan hak reproduksi wanita, mengurus kewangan rumah tangga, persoalan ‘hygiene’, gangguan seksual, keganasan rumah tangga serta perlindungan kanak-kanak.

“Kita menyasarkan lebih kurang 4,000 wanita akan hadir pada program terbabit,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mengulas berkenaan perancangan IWB pada tahun ini, beliau berkata, pihaknya sedang bergerak ke arah beberapa penyelidikan antaranya tahap dan indeks keberkesanan program mikrokredit terhadap pemberdayaan ibu tunggal luar bandar.

Katanya, IWB Selangor turut menjelajah beberapa institut pengajian tinggi awam dan swasta sekitar Selangor bagi menganjurkan beberapa sesi Dialog Kesedaran Gender.

“IWB terus komited merangka polisi dan strategi pemberdayaan dan kemajuan wanita demi Selangor yang inklusif, lestari dan adil.

“Justeru, IWB berusaha menganjurkan beberapa program seperti Seminar Nasional Wanita dan Politik, Forum Kesaksamaan Gender, Forum Bandar Malaysia 2019 dan Sambutan Hari Wanita Selangor selain Majlis Penganugerahan Tokoh dan Pelancaran Buku Ceritalah Wanita yang sudah dilaksanakan sebelum ini,” katanya.

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

PWB buka ruang wanita ceburi politik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 JAN: Pusat Wanita Berdaya (PWB) kini menawarkan kefahaman, latihan, ilmu kepimpinan dan undang-undang dalam bidang politik bagi mereka yang berminat.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sebelum ini pusat itu hanya menawarkan kemahiran antaranya menjahit, memasak dan pastri.

“Kemahiran seperti itu masih ada cuma kita hanya meletakkannya pada kadar 50 peratus, manakala selebihnya kita akan berdayakan dengan ilmu, kepimpinan dan undang-undang bagi mereka yang berminat dalam bidang politik.

“Siapa yang suka kemahiran memasak dan lain-lain boleh teruskan seperti biasa. Tujuannya bagi menyediakan wanita berkualiti dalam bidang politik,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Dr Mariah berkata, wanita yang layak akan disaring terlebih dahulu menerusi jawatankuasa Wanita Berdaya Selangor dan seterusnya akan menyertai kursus daripada Institut Wanita Berdaya (IWB).

“Wanita di negeri ini, kini aktif sebagai Ahli Majlis, Ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung, justeru, kita mahu lebih ramai wanita aktif dalam pembuat keputusan atau dasar serta melahirkan pelapis yang berkualiti,” katanya.

PWB adalah pusat pengerak wanita yang diwujudkan di 56 DUN, di bawah Kerajaan Negeri.

Tujuan utama penubuhannya adalah untuk menyantuni masyarakat khasnya wanita dan remaja perempuan dengan pelbagai pendekatan, termasuk memberi latihan kemahiran berskala kecil serta sederhana juga memberi kesedaran melalui kursus yang dijalankan.

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

100 peserta hadiri Bengkel Keselamatan Kanak-kanak Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 21 MAC: Seramai 100 peserta menghadiri Bengkel Keselamatan Kanak-kanak Selangor anjuran Institut Wanita Berdaya (IWB) yang berlangsung selama tiga hari, sejak Isnin lalu.

Pengerusi IWB, Zuraida Kamaruddin berkata, bengkel itu penting dilaksanakan kerana ia memberi kesedaran kepada kanak-kanak, dari peringkat awal.

“Adalah penting untuk setiap kanak-kanak, ibu bapa dan masyarakat peka terhadap sebarang isu dihadapi kanak-kanak di Malaysia, pada masa kini.

“Selangor adalah negeri paling ke hadapan yang sedar kepentingan memberikan pendedahan kepada kanak-kanak berkenaan keselamatan diri mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas merasmikan Hari Penutup Bengkel Keselamatan Diri Kanak-kanak Selangor, di Villa Piscine PriveƩ , Kenny Hills, Bukit Tungku, di sini, hari ini.

Zuraida berkata, inisiatif dilaksanakan oIWB dalam menjalankan pelbagai program kesedaran, bukan hanya kepada ibu bapa tetapi juga kanak-kanak.

“Terdapat tiga program utama yang dilaksanakan IWB iaitu Seminar Perlindungan Kanak-Kanak, Bengkel Keselamatan Diri Kanak-Kanak dan Bengkel Kesedaran Atasi Penderaan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

“IWB turut mengadakan kerjasama strategik dengan badan bukan kerajaan seperti PS The Children, Monster Among Us & RAGE yang menjalankan pelbagai program berkenaan keselamatan kanak-kanak.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, IWB akan sentiasa melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di Selangor.

Sementara itu, Pegawai Polisi IWB, Farah Afzan Faridi berkata, bengkel berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Program bersiri ini adalah inisiatif IWB Selangor dalam usaha memberi kesedaran kepada kanak-kanak berkenaan risiko dan bahaya yang sering dihadapi mereka di dunia sebenar.

“Bengkel ini memberi penekanan terhadap interaksi kanak-kanak dengan dunia luar, kami mendidik mereka supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada apabila berinteraksi dengan orang tidak dikenali,” katanya.

 

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Iklan Public Service Anouncemant inisiatif kurang diskriminasi gender

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 9 MAC: Buat julung kali Institut Wanita Berdaya melancarkan iklan Public Service Anouncemant (PSA) yang bertemakan pembasmian Stereotaip gender pertama, di Malaysia.

Pengerusi IWB, Zuraida Kamaruddin berkata, IWB mensasarkan diskriminasi gender terhadap kaum wanita dapat dikurangkan dimana perlakuan yang tidak adil terhadap wanita dapat dibela melalui iklan itu.

“Masyarakat kita mempunyai satu stereotaip yang sering mengatakan wanita tidak boleh melakukan sesetengah perkara dilakukan lelaki.

“Sedangkan, wanita juga boleh melaksanakan daripada semua aspek bidang. Jika dilihat, kini wanita juga dipilih menjadi pemimpin politik dan pengurusan peringkat atas sama ada dalam agensi kerajaan juga swasta.

“Jadi, tidak ada perbezaan antara wanita dan lelaki kecuali hanya tiga perkara yang wanita boleh buat tetapi lelaki tak boleh iaitu mengandung, melahirn dan menyusukan anak,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ampang kepada SelangorKini ketika pelancaran iklan itu dalam majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2018, di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi.

Zuraida berkata, wanita Malaysia tidak seharusnya ketinggalan dalam aspek pembangunan kerjaya, pembabitan dalam ekonomi, pendidikan serta keterlibatan dalam kepimpinan.

“Melalui PSA, kita ingin mengatakan bahawa adalah penting norma tanggungjawab taradisi wanita di Malaysia berkembang mengikut arus semasa.

“Tugas seperti hal ehwal rumah tangga tidak lagi terletak di bahu wanita sahaja kerana jika dibiar akan menyekat perkembangan mereka dalam kehidupan.

“Wanita dan lelaki harus bekerjasama tidak kira dalam rumah tangga, antara komuniti atau organisasi,” katanya.

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

IWB: #pressforprogress desak kemajuan wanita

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 9 MAC: Institut Wanita Berdaya (IWB) mengadakan Sambutan Hari Wanita Sedunia 2018 bertemakan #pressforprogress selari dengan sambutan hari wanita seluruh dunia.

Pengerusi IWB, Zuraida Kamaruddin berkata, mesej #pressforprogress bermaksud mendesak kemajuan untuk kaum wanita supaya tidak terus dipinggir dalam sektor pembangunan negara.

“Cabaran masa kini, wanita seluruh dunia berhadapan dengan masalah kesetaraan gender yang tidak seimbang daripada sudut ekonomi, pendidikan, kesihatan dan politik.

“Antaranya, tanggungjawan menjaga keluarga bukan hanya tertakluk kepada wanita, malahan kaum lelaki juga memainkan peranan besar sama seperti isu menjaga ibu bapa yang uzur seolah-olah terdapat satu stigma bahawa tugas itu tanggungjawab anak perempuan,” katanya dalam majlis Sambutan Hari Wanita Sedunia 2018, di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, tema itu juga amat sesuai dengan keadaan sekarang kerana masih terdapat masyarakat menidakkan keupayaan wanita dalam konteks pemberdayaan dan inklusiviti.

“Sebab itu, Kerajaan Negeri memberi peruntukan besar untuk IWB supaya kita dapat lihat perubahan positif untuk generasi akan datang bukan hanya melihat tugas hakiki wanita terangkum, di rumah sahaja.

“Dengan kejayaan IWB, kita berharap wanita akan dapat memberikan aspirasi kepada seluruh masyarakat dalam keterlibatannya dalam pembangunan negara,” katanya.

Daroyah juga menggesa syarikat swasta, GLC negeri,PBT, organisasi wanita dan individu turut sama melaksanakan dasar serta polisi lebih mesra wanita bagi mengubah persepsi juga memberikan kehidupan lebih seimbang antara kerjaya selain keluarga.

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

IWB anjur seminar wanita galak keseimbangan kerjaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 FEB: Penganjuran Seminar Keseimbangan Hidup Bekerjaya yang dijayakan Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor mampu mengukuhkan peranan wanita dalam institusi kekeluarga negara.

Pengerusi IWB, Zuraida Kamaruddin berkata, penganjurannya diwujudkan bagi memberi pendedahan umum terhadap pelaksanaan keseimbangan kerjaya dan keluarga.

“Ini adalah sebahagian daripada agenda untuk memberdayakan kebajikan wanita Selangor dengan mefokuskan aspek keseimbangan hidup bekerjaya bagi menghasilkan pendekatan baru untuk meningkatkan kualiti wanita Selangor.

“Usaha ini dijalankan kerana kita mahu melahirkan wanita Selangor yang bukan sahaja bekerjaya tetapi bahagia bersama keluarga dan pada masa sama dapat mengekalkan identiti daripada segi penyediaan jati diri maasing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Seminar Keseimbangan Hidup Bekerjaya (Work Life Balance) anjuran Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor, di Dewan Auditorium Tingkat 2, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Raja Tun Uda, pagi ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Ahli Lembaga Pengarah IWB, Haniza Talha.

Pada masa sama, seramai lebih 300 peserta terdiri daripada kakitangan wanita kumpulan anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC) hadir pada seminar berkenaan.

Ia menampilkan panelis terkenal antaranya Felo Kanan di Institute Of Southeast Studies (ISEAS), Dr Lee Hwok Aun dan Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Norizan Abd Razak.

Seminar berkenaan turut menampilkan Timbalan Dekan Akademik Malaysian Japan International Institute Of Technology (MJIIT) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Sabariah Baharun dan Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa, Dr Ruhaya Hussin.

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

IWB perjuang wanita elak ketinggalan

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 24 NOV: Institut Wanita Berdaya (IWB) komited memastikan agenda wanita nasional diangkat dan terus diperjuangkan supaya golongan itu tidak ketinggalan.

Penasihat dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IWB, Zuraida Kamaruddin berkata, agenda wanita tidak hanya diangkat di peringkat Selangor sahaja tetapi ia bakal dilakukan, di seluruh negara.

“Sasaran 30 peratus pembabitan wanita dari Selangor tidak menjadi masalah memandangkan negeri ini adalah kerajaan pembangkang dan kebanyakan dari mereka agresif memperjuangkan parti.

“Saya berharap Selangor akan menjadi negeri pertama, di Malaysia untuk capai 30 peratus pembabitan wanita di setiap peringkat, bukan isu menuntut hak wanita tetapi memartabatkan wanita dalam pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Nasional Gender & Reformasi Pilihanraya “More Women Better Nation”, di Hotel Holiday Villa, hari ini.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, berdasarkan kajian Tenaga Buruh 2015, kadar penyertaan pekerja wanita di negeri ini adalah 63.4 peratus, berbanding 54 peratus, di peringkat nasional.

“Saya berharap selesai sahaja persidangan hari ini, wakil di setiap negeri dapat membentuk jawatankuasa khas bertindak di kawasan masing masing dan galakkan lebih ramai wanita turun padang,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan golongan lelaki untuk tidak berasa terpinggir memandangkan hasrat IWB adalah memberdayakan wanita supaya tidak jauh ketinggalan.

“Pembabiatan lebih ramai wanita dalam bidang politik bukan berniat ingin mendahului lelaki tetapi untuk membantu meringankan beban golongan itu,” katanya.

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Geran khas RM70,000 laksana penyelidikan & program wanita, kanak-kanak

OLEH SABIRAH AZIZ

AMPANG JAYA, 8 NOV: Institut Wanita Berdaya (IWB) Selangor menawarkan geran khas berjumlah RM70,000 kepada ahli akademik, kumpulan atau individu berhasrat membuat penyelidikan dan program melibatkan wanita dan kanak-kanak di negeri itu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IWB, Zuraida Kamaruddin berkata, dana RM50,000 diberikan bagi setiap penyelidikan akademik manakala untuk program sebanyak RM20,000 dalam tempoh tidak melebihi dua tahun.

“Kami memberikan keutamaan kepada penyelidikan dan program berpotensi untuk menyumbang dan meningkatkan nilai hidup sekaligus dapat menghasilkan suatu idea baharu.

“Mereka yang layak memohon terdiri daripada kakitangan akademik, pertubuhan berdaftar dengan syarat satu permohonan projek pada setiap fasa mengikut tempoh ditetapkan,” katanya sambil menambah permohonan turut dibuka kepada pelajar menjalankan tesis hak kanak-kanak.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Geran Penyelidikan IWB dan Program Perlindungan Kanak-kanak Selangor, hari ini.

IWB diwujudkan Kerajaan Selangor pada 4 Oktober lalu untuk merangka dasar dan strategi bagi memperkasakan serta meningkatkan status sosio ekonomi wanita, institusi keluarga dan kanak-kanak di negeri itu.

Sementara itu, Zuraida berkata, IWB akan menganjurkan sepuluh program perlindungan kanak-kanak bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa dan masyarakat tentang hak perlindungan kanak-kanak bawah umur melibatkan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Selangor.

“Program berbentuk ceramah, bengkel dan latihan ini bertujuan memberi pendedahan supaya golongan ini tahu hak dan bagaimana boleh melindungi diri mereka daripada gangguan seksual dan keganasan semakin berleluasa kini.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, program itu akan bermula pada pertengahan November ini melibatkan 600 kanak-kanak, 400 ibu bapa dan 50 pelatih dengan kerjasama “Protect and Save the Children” yang pakar dalam isu dan masalah penderaan kanak-kanak.

Mengulas kes pencabulan kanak-kanak pada masa kini, Zuraida berkata, kebanyakan mangsa tidak berani mengadu sementara ibu bapa pula tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka telah dicabul.

“Diharapkan menerusi program ini ibu bapa dan masyarakat akan sedar dan lebih peka dengan persekitaran dan apa yang berlaku kepada anak mereka,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Institut Wanita Berdaya perkasa wanita hadapi Revolusi Industri 4.0

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 OKT: Institut Wanita Berdaya (IWB) diyakini mampu memperkasa wanita Selangor dengan polisi dan strategi holistik dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, revolusi industri itu diramal meranapkan jutaan pekerjaan kesan peningkatan kebergantungan kepada sistem robotik berasaskan ‘internet of things’ (IOT).

Katanya, ia memberi kesan langsung kepada wanita yang lazimnya kurang menceburi bidang berkenaan seterusnya menyebabkan mereka hilang pekerjaan.

IWB (3)“Kerajaan Negeri berusaha untuk melebarkan peluang bagi wanita melalui pendidikan, keusahawanan dan latihan vokasional.

“Perkasakan wanita menerusi sukan, seni budaya, sains dan teknologi bagi meningkatkan kemahiran dan penyertaan wanita dalam ekonomi sebagai tenaga kerja mahir, usahawan serta pakar teknologi. Kita mahu lahirkan lebih ramai wanita sebagai ‘movers dan shekers of economy’,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, Selangor tidak akan mencapai status ‘regional smart state’ jika wanita dipinggir dan gagal diberdaya dengan ilmu juga kemahiran.

“Ada pepatah mengatakan, mendidik seorang lelaki bermakna mendidik seorang individu, mendidik seorang wanita bermakna mendidik satu keluarga.

“Sesungguhnya, masa hadapan Selangor sebahagian besarnya bergantung kepada wanita negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran IWB dan Dasar Wanita Selangor, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia merangkap Ahli Dewan Negeri Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.