OLEH SYAZWANI SUFIAN
SHAH ALAM, 18 MAC: Kerajaan Selangor mengambil inisiatif membekukan lesen bagi kegiatan pembalakan sebagai usaha memelihara hutan simpan di negeri itu.
Exco Pelancongan, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, selama 10 tahun kerajaan Pakatan mengambil alih Selangor, jumlah hutan simpan di Selangor terus meningkat.
“Kerajaan Selangor telah melaksanakan beberapa langkah bagi memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus hutan simpan di Selangor dikekalkan dan tidak boleh ditebang. Dan sehingga hari ini pemeliharaan itu telah meningkat kepada 33 peratus.
“Cara kita mengurus hutan simpan paya gambut menjadi satu contoh dan telah diiktiraf badan-badan hijau antarabangsa.
“Hutan Simpan Raja Musa jugsa diterima secara sah dan diakreditasikan secara rasmi Sekretariat The Queen’s Commonwealth Canopy (QCC) serta mendapat pengiktirafan badan antarabangsa apabila acara berprestij iaitu Queen’s Baton Relay (QBR) yang merupakan acara simbolik persinggahan baton atau obor sempena Sukan Komanwel 2018 Gold Coast, Australia tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dilaksanakan sepanjang 10 tahun lalu di Karnival Himpunan Rakyat di Stadium Malawati, semalam.
Pada masa sama, Elizabeth berkata, Selangor adalah negeri yang paling tinggi menerima kedatangan pelancong domestik.
“Sekinchan adalah salah satu kawasan yang bukan sahaja semakin dikenali oleh rakyat Malaysia malah negara-negara lain seperti Taiwan, China Singapura, Indonesia malahan Sepanyol turut ingin mengetahui lebih lanjut tentang Sekincahan dan Selangor,” katanya.
=EZY=