Categories
PBT SELANGOR

MPKJ lancar GERAK banteras aedes

OLEH SHEEDA FATHIL

KAJANG, 20 MAC: Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) melancarkan Gempur Aedes Kajang (GERAK) bertujuan membanteras kawalan wabak denggi di daerah Hulu Langat.

Timbalan Yang Dipertua MPK, Najmuddin Jemain berkata, bengkel brainstorming diadakan untuk memperkasakan pencegahan dan denggi di daerah berkenaan supaya dapat dikawal sebaiknya.

“Pada 2018, daerah Hulu Langat mencatatkan 1,100 kes berbanding tahun 2017 sebanyak 2,547 kes dalam tempoh yang sama iaitu tiga bulan pertama.

“Susulan daripada itu, MPKJ melancarkan Ops Gerak-Gempur Aedes Kajang iaitu operasi ini menumpukan kepada lokaliti denggi yang kes sering berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Bengkel ‘Brainstorming’ dan tagline ‘GERAK’ bagi Memperkasakan Pencegahan dan Kawalan Wabak Denggi daerah Hulu Langat bertempat di Dewan Sri Cempaka, di sini, hari ini.

Najmuddin berkata, operasi gerak-gempur aedes berkenaan mendapat kerjasama bersama unit dalaman seperti Unit Tindakan Khas (UTK) Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) yang akan membantu unit vektor memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di rumah dan kawasan sekitar.

“Tindakan memusnahkan dan membersihkan kawasan persekitaran dengan menghapuskan bekas takungan air yang berpotensi menjadi pembiakan nyamuk aedes amat membantu dalam penurunan kes di kawasan pentadbiran MPK.

“Malah ia adalah salah satu usaha bagi memastikan kes demam denggi di daerah Hulu Langat dalam keadaan terkawal,” katanya.

Bagaimanapun, Najmuddin berkata, usaha itu tidak akan berjaya tanpa penglibatan masyarakat keseluruhannya untuk bersama bertindak mengubah tabiat dan gaya hidup tidak sihat khususnya seperti membuang sampah di merata tempat dan membiarkan bekas bertakung air.

Selain itu, antara pengisian bengkel, MPK turut meningkatkan aktiviti pendidikan kesihatan seperti ceramah, hebahan awam dan nasihat individu serta meningkatkan penguatkuasaan ke atas mana-mana premis dan penganjuran gotong-royong,” katanya.

Terdahulu, MPK mencatatkan kawasan paling tinggi kes denggi berbanding kawasan lain di negeri ini dan inisiatif Ops Gerak-Gempur Aedes Kajang dilaksanakan bagi mengurangkan kes berkenaan.

=EZY=