LONDON 13 MAC: Pakar dron Malaysia, Aerodyne Group, membeli 60 peratus kepentingan kawalan di dalam AtSite, penyedia perkhidmatan pemeriksaan turbin angin berpangkalan di Denmark bagi industri jana kuasa Eropah.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Aerodyne, Kamarul A Muhamed, berkata pembelian itu membolehkan syarikat memperolehkan kedudukan lebih kukuh di dalam pasaran jana tenaga angin yang sedang pesat berkembang, lapor BH ONLINE.
“Pembelian ini membolehkan kami meneroka pasaran turbin angin global. Ini sebenarnya cara kita berkembang ke seluruh dunia.
“Di beberapa negara, kami menubuhkan operasi sendiri, namun di kebanyakan negara, kami bekerjasama dengan rakan tempatan dan itulah strategi yang membolehkan syarikat berkembang sebegini pantas. Justeru, ia satu perjalanan yang amat menarik,” katanya.
Aerodyne Group bermula dengan hanya tiga pekerja kira-kira tiga tahun lalu, dan sekaran ini penyedia penyelesaian dron terurus antarabangsa itu mempunyai pejabat di Australia, Malaysia, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Indonesia, United Kingdom (UK) dan Denmark.
AtSite, yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mads Obling Rasmussen adalah peneraju perkhidmatan pemeriksaan bilah turbin angin.
Tahun lalu, juruteknik syarikat itu sudah menyiapkan lebih daripada 1,000 pemeriksaan turbin angin di kedua-dua luar pesisir dan atas pesisir.
Perkhidmatan Aerodyne amat berguna untuk memantau dan memeriksa turbin angin luar pesisir dan atas pesisir. Ia berkesan dari segi kos dan menghasilkan penjimatan kepada pengendali tenaga angin.
Kini dikenali Aerodyne AtSite, syarikat itu akan membawa kepakaran dari Malaysia dan menggaji pekerja dari Eropah untuk mengendalikan operasinya.
“Teknologi ini adalah dari Malaysia, penyelesaiannya menggunakan (teknologi) awan, diuruskan oleh pasukan kami. Justeru, kami menggunakan pemandu dron tempatan. Pekerja kami sekarang ini berada di sana melatih pekerja Eropah,” katanya.
“Saya fikir, kami sudah menemui pengkhususan dalam menggunakan dron bagi menyediakan penyelesaian enterpris dan merasakan inilah formula yang betul. Ia membolehkan kami mencatatkan pertumbuhan luar biasa sejak tiga tahun lalu. Kini, kami mempunyai 200 pekerja di 10 negara,” katanya sambil menambah Aerodyne adalah penyedia perkhidmatan dron ketujuh terbesar di dunia.
Kamarul berkata demikian pada Hari Aerodyne yang diadakan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Jumaat lalu yang dianjurkan bersama oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Perjanjian pembelian saham itu disaksikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom (UK) dan Ireland Utara, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi.
Mengulas lanjut, Kamarul berkata tumpuan utama Aerodyne sekarang ini adalah aset infrastruktur.
“Bagi kami, aset infrastruktur adalah pasaran terbesar dari segi aplikasi dron. Yang bagusnya, ia boleh digunakan dengan agak mudah di beberapa pasaran dan tidak hanya terhad kepada Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, selain aset infrastruktur, satu lagi pasaran yang boleh memanfaatkan penggunaan teknologi dron adalah pertanian.
Katanya, Aerodyne sedang meneliti beberapa rakan perniagaan di sekurang-kurangnya lima negara.
SUMBER: BH ONLINE