Categories
SELANGOR

PKNS rai media, perkukuh kerjasama erat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 MAC: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menganjurkan ‘Malam PKNS Bersama Media’ bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pengamal media yang membantu mengukuhkan jenama dan reputasi PKNS.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datin Paduka Dr Hajah Noraida Mohd Yusof berkata, penganjuran program kali kedua itu bertujuan menjalin kerjasama antara PKNS dan agensi media.

“PKNS amat menghargai sumbangan media melalui hasil penulisan bernilai tinggi dalam penyampaian berita yang sahih yang menjadi medium penghubung antara organisasi ini dan masyarakat.

“Hari ini PKNS menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada media yang bersama-sama membantu mengukuhkan jenama organisasi ini sepanjang 54 tahun penubuhannya.

“Kita berharap sinergi ini dapat dikekalkan pada masa depan,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak lima kategori anugerah dipertandingkan iaitu Berita Korporat Terbaik, Berita Tanggungjawab Sosial (CSR) Terbaik, Berita Sukan Terbaik, Berita Online Terbaik dan Gambar Terbaik.

Tiga wartawan kumpulan News Straits Times Press (NSTP) menggondol tiga anugerah utama iaitu kategori Berita Sukan Terbaik, Gambar Terbaik dan Berita Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Terbaik.

Mereka ialah Firdaus Hashim, Rosela Ismail dan Ayusliza Azizan.

Manakala, kategori Berita Korporat dan Online Terbaik pula masing-masing dimenangi wartawan Malay Mail Benjamin Teow dan wartawan Agensi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nurqalbi Mohd Reda.

Kesemua pemenang membawa pulang trofi serta wang tunai dan majlis itu turut diserikan dengan persembahan dua artis tempatan Lan Solo dan Irfan Haris.

=EZY=