OLEH ZAREEF MUZAMMIL
SHAH ALAM, 21 MAC: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menganjurkan Pertandingan Nasyid Kampungku 2018 sempena Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Daerah Hulu Langat.
JAIS menerusi facebook berkata, pertandingan julung kali itu bakal berlangsung di Pentas Utama Mini Stadium Batu 14, Hulu Langat pada 24 Mac (Sabtu) jam 2 petang.
Katanya, penyertaan dibuka kepada mereka berumur 13 hingga 40 tahun dengan setiap kumpulan hendaklah terdiri daripada lima hingga 10 orang ahli.
“Setiap kumpulan dikehendaki mempersembahkan sebuah lagu sama ada lagu moden atau tradisional berdurasi tidak lebih lima minit termasuk pembukaan.
“Disamping itu, lirik lagu hendaklah berunsur nilai Islam bagi tujuan memupuk semangat dakwah Islamiah, patriotik dan kehidupan sejahtera seterusnya membanteras gejala sosial serta meningkatkan nilai kemanusiaan sejagat.
“Setiap kumpulan juga dikehendaki membawa minus one dan alat muzik sendiri bagi yang menggunakan ‘percussion’,” katanya dalam kenyataan.
Pertandingan menawarkan hadiah menarik dengan johan bakal membawa pulang wang tunai RM800, manakala naib johan RM600 dan tempat ketiga RM400.
Oleh itu, mereka yang berminat untuk turut serta dalam pertandingan tersebut perlu mendaftar penyertaan selewat-lewatnya pada 23 Mac (Jumaat) jam 4 petang memandangkan penyertaan terhad untuk 10 terawal sahaja.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi pihak urus setia Nasyid Kampungku di talian 03-55143579 (Pn Rosmahani) atau 03-55143505 (En Shahruddin).
=EZY=