OLEH SABIRAH AZIZ
PETALING JAYA, 24 APR: Seramai 280 ahli keluarga Al-Nyakhussaini daripada lima generasi, hadir menyertai majlis silaturahim yang pertama kali diadakan, di Dewan Komuniti SS7/28, di sini, pada 22 April lalu.
Salah seorang ahli keluarga, YM Raja Shahreen Raja Othman berkata, jumlah itu tidak meliputi semua ahli keluarga kerana ada antara mereka tinggal di Acheh, Jakarta dan Medan.
“Majlis ini bertujuan merapatkan hubungan sesama ahli keluarga dan meraikan bapa saudara saya, Tan Sri Hanafiah Hussain sempena hari lahirnya yang ke-93 tahun, pada 16 April lalu.
“Beliau adalah ahli keluarga paling ‘senior’ yang mengetuai keluarga, berjaya dan dihormati. Maka, hari ini kami turut memberi peluang kepadanya untuk menyampaikan amanat berguna kepada semua.
“Justeru, kita bawa semua ahli keluarga yang dapat hadir bagi memberikan penghargaan, ucapan dan berkongsi perasaan masing-masing mewakili setiap generasi,” katanya yang ditemui pada majlis berkenaan.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) berkata, hubungan silaturahim dan kekeluargaan amat penting untuk dijalinkan bersama bagi memupuk rasa ingin mengenali ahli keluarga lain.
“Dalam kalangan kami terdapat juga yang tidak mengenali satu sama lain, jadi dengan adanya program seumpama ini sekali gus dapat merapatkan hubungan sesama ahli keluarga dan mengenali salasilah keturunan keluarga,” katanya.
Sementara itu, Hanafiah berkata, keluarganya datang dari Acheh dan berhijrah ke Yan, Kedah namun terdapat juga sesetengah ahli keluarga yang berpindah semula ke Acheh, Jakarta serta Medan lalu menetap di sana.
“Program sebegini dirancang sejak enam bulan lalu. Maka, saya sebagai ahli keluarga yang paling tua ingin memberikan amanat kepada seluruh keluarga serta merapatkan silaturahim sesama kita.
“Walaupun ia pertama kali diadakan, saya berharap kaum keluarga lain dapat meneruskan program sebegini, pada masa akan datang kerana sudah lebih kurang satu abad Nyak Hussein memupuk nilai kekeluargaan,” katanya.
Hanafiah sebelum ini pernah menjadi Akauntan bertauliah dan memegang pelbagai jawatan di peringkat Kerajaan seperti Pengasas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tabung Haji dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), pada 1957 hingga 1967, serta pernah memenangi Anugerah Tokoh FAMA (2015) juga Anugerah Tokoh Melayu Terbilang, pada 2017.