OLEH NADIAH ZAMLUS
SHAH ALAM, 4 APR: Lebih 500,000 nyawa rakyat Syria sudahpun terkorban dalam tempoh tujuh tahun peperangan lebih tinggi daripada peperangan dilalui rakyat Palestin dalam konflik selama 60 tahun dengan korban 40,000 nyawa.
Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Sani Araby Al-Kahery berkata, jumlah kematian tinggi itu mengejutkan dunia antarabangsa memerlukan perhatian serius bagi menghentikan konflik peperangan daripada meragut lebih ramai korban.
“Ini jelas menunjukkan bahawa krisis yang melanda Syria begitu menakutkan dan perlu dipandang serius oleh masyarakat dunia.
“Antara punca utama adalah disebabkan 40 peratus diantara mereka lewat menerima rawatan,” katanya kepada SelangorKini.
Sani yang juga Ketua Misi Bantuan Kecemasan Rescue Syria berkata, kini masalah berkenaan dapat dikurangkan setelah MAPIM melancarkan Kempen Wakaf Ambulans.
“Alhamdulillah kita dapat lihat ambulans yang telah diwakafkan oleh rakyat Malaysia menjadi penyambung hayat di Syria.
“Lebih membanggakan apabila lima buah ambulans yang sudah berada di Syria menjadi bualan masyarakat antarabangsa terutamanya mereka yang menyertai misi sukarelawan,” katanya.
Kempen yang sudah dijalankan sejak 2014 itu masih berterusan berikutan pengangkutan itu masih lagi diperlukan.
MAPIM kini memerlukan lima buah ambulans tambahan bagi menampung kes kecemasan yang terlalu banyak.
Selain membawa pesakit, kenderaan berkenaan juga menjadi klinik bergerak, farmasi bergerak dan juga membawa pelarian baru untuk mendapatkan rawatan segera.
Sani berkata, melalui maklumat yang diterima, kini terdapat 40,000 rakyat Syria yang sedang terkepung.
“Keadaan mereka dalam keadaan kurus kering kerana tidak mendapat bekalan makanan, jadi pengangkutan utama untuk membawa mereka mendapatkan rawatan segera ialah ambulans sahaja,” katanya.
Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut, anda boleh menghubungi talian 0174744030 atau layari laman web www.tabungsyria.com.
=EZY=