OLEH NAZLI IBRAHIM
PUTRAJAYA, 24 APR: Orang awam yang tidak mendaftar sebagai pengundi dinasihatkan supaya menyemak nama masing-masing dalam Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pemangku Pengerusi BERSIH 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari berkata, hal ini berikutan BERSIH 2.0 menerima 24 aduan orang awam nama mereka dimasukkan dalam daftar pemilih walaupun mereka tidak berbuat demikian.
“Bagi mereka yang sudah cukup umur tetapi tidak pernah mendaftar perlu semak nama masing-masing kerana tidak mustahil nama mereka digunakan oleh pihak atau sindiket tertentu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.
“Jumlah ini yang kami terima. BERSIH 2.0 percaya lebih banyak lagi nama lain tetapi sama ada tidak disedari penama sendiri atau mereka tidak mengemukakan aduan,” katanya kepada SelangorKini selepas menyerahkan laporan isu ini kepada SPR di Ibu Pejabat SPR di sini, hari ini.
Jelasnya, golongan yang ke luar negara dalam satu tempoh merupakan paling ramai mengadu nama mereka dimasukkan ke dalam daftar pemilih tanpa pengetahuan masing-masing.
Katanya, SPR sepatutnya lebih telus dengan berkongsikan dengan masyarakat awam berhubung aduan-aduan yang diterimanya.
“Kalau BERSIH 2.0 boleh terima sebanyak ini aduan, saya percaya SPR terima lebih banyak lagi daripada kami,” katanya lagi.
Terdahulu, BERSIH 2.0 menyerahkan 80 aduan orang awam kepada SPR yang diterimanya sejak pembubaran Parlimen pada 7 April lalu.
=EZY=