BEIJING 17 APR: Ekonomi China berkembang lebih baik dari jangkaan kepada 6.8 peratus pada suku pertama tahun ini, mengatasi risiko kewangan yang dihadapi Beijing dan ketegangan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).
Ekonomi kedua terbesar dunia mengatasi angka 6.7 peratus seperti dijangka penganalisis dan menyamai prestasi suku keempat tahun lalu.
“Ekonomi negara mengekalkan momentum perkembangan mantap dan kukuh,” kata Jurucakap Biro Statistik Negara, Xing Zhihong.
“Prestasi ekonomi terus bertambah baik dan ia adalah permulaan yang positif.”
Pertumbuhan berterusan China menunjukkan ekonomi negara itu kekal berdaya tahan walaupun Beijing berdepan krisis pencemaran tertinggi pada musim sejuk dengan mengurangkan pengeluaran daripada lebih banyak kilang, pelebur dan kilang besi.
Kebimbangan ke atas perang perdagangan dengan AS juga menjejaskan pasaran beberapa minggu lalu, dengan Washington dan Beijing bertukar amaran berhubung tarif untuk sebahagian besar perdagangan dua hala negara berkenaan.
Ketegangan masih belum menimbulkan kemudaratan kepada ekonomi, kata penganalisis, namun ia berkemungkinan berubah pada bulan-bulan mendatang apabila perubahan tarif seperti diancam Presiden AS, Donald Trump dilaksanakan.
Selain eksport, pelaburan berasaskan hutang memacu ekonomi China untuk tempoh beberapa dekad lalu, namun dengan peningkatan kebimbangan berhubung kemungkinan krisis kredit menyaksikan Beijing melaksanakan langkah menangani risiko hutang dan kewangan.
SUMBER: AFP