OLEH ERMIZI MUHAMAD
GOMBAK, 30 APR: Calon P0.98, Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menganggap kawasan itu begitu dekat dengan dirinya dan menyifatkannya sebagai ‘keluarga besar.
Hal itu kerana Dato’ Menteri Besar itu merupakan anak jati di kawasan berkenaan.
“Ini adalah kampung halaman saya. Saya dibesarkan di kawasan ini dan tempat ini cukup dekat dengan saya.
“Gombak ini adalah keluarga besar saya dan cukup mudah untuk saya meneruskan khidmat bakti di kawasan ini,” katanya kepada pemberita.
Mohamed Azmin diletakkan sebagai calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bersaing bersama Calon PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin.
Calon Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahim Pandak Kamarudin juga turut diletakkan di kawasan itu bagi melengkapkan saingan tiga penjuru, di kerusi panas berkenaan.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, Mohamed Azmin mempertahankan kerusi Parlimen Gombak dengan 54,287 undi.