OLEH AFIX REDZUAN
SHAH ALAM, 20 APR: Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin tidak akan bertanding merebut sebarang jawatan dalam Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap bola sepak negara.
Katanya, buat masa ini beliau tidak berminat memegang jawatan dalam MOM walaupun terdapat spekulasi terdapat beberapa persatuan sukan mahu mencalonkannya bagi jawatan Timbalan Presiden MOM.
“Selepas mengadakan perbincangan dengan ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM dan mendapatkan nasihat mantan Presiden FAM, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, saya dengan ini secara rasmi membuat keputusan untuk tidak akan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden MOM, pada pemilihan yang akan berlangsung, pada 5 Mei ini.
“Keputusan ini dibuat kerana saya ingin memberi tumpuan dan fokus sepenuhnya terhadap bola sepak negara, khususnya FAM jika saya dinobatkan sebagai Presiden FAM baharu bagi penggal 2018-2021, pada kongres yang dijadual berlangsung pada 14 Julai ini,” katanya.
Sebelum ini, Hamidin mengesahkan akan bertanding jawatan Presiden FAM selepas jawatan itu kosong susulan peletakan jawatan Tunku Ismail, pada 25 Mac lalu.
Beliau berkata, jawatan Presiden FAM adalah ‘landing terakhir’ bersama badan bola sepak negara dan tidak akan kembali ke jawatan sebagai Setiausaha Agung FAM jika tidak berjaya, pada 14 Julai nanti.
Kredit Foto: Facebook FAM