Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri terus santuni kaum India

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 7 APR: Kerajaan Negeri berterusan menyantuni kaum India dengan pelbagai pemberian bantuan kewangan kepada kuil, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan anak pekerja ladang di negeri ini.

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, Ganabatirau Veraman berkata, ia bertujuan membantu dan mengembalikan segala apa yang sepatutnya menjadi hak rakyat.

“Hari ini saya mewakili Kerajaan Negeri serahkan bantuan berupa cek kepada 50 kuil di Selangor untuk pembangunan dan pembaikan fasiliti pusat ibadat berkenaan.

“Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sudah serahkan bantuan kepada 111 kuil dengan peruntukan secara keseluruhannya adalah RM1,184 000,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan pada Program Mesra Rakyat – Majlis Penyerahan Cek bagi Kuil, NGO dan Yuran Pengajian kepada kaum Hindu negeri ini bertempat di Dewan Auditorium Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini.

Sementara itu, Ganabatirau turut menyerahkan bantuan kepada 36 anak pekerja ladang yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Bantuan ini sudah dimulakan sejak 2014 apabila pada masa itu hanya lima orang anak pekerja ladang menerimanya diikuti 15 orang 2015, 35 (2016) dan 79 (2017).

“Malah setiap penerima amat beruntung apabila Kerajaan Negeri yang prihatin ini menyerahkan RM5,000 kepada setiap seorang sebagai tanda penghargaan kepada kejayaan mereka.

Sebagai exco pekerja ladang, Ganabatirau akui beliau bersama pimpinan di bawah Dato’ Menteri Besar diberi amanah serta tanggungjawab untuk berusaha sedaya upaya menyantuni golongan berkenaan.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyantuni 40 NGO di negeri ini dengan bantuan RM89,000.

Ganabatirau berkata, ia merupakan cara Kerajaan Negeri memberi penghormatan dan mengiktiraf NGO berkenaan secara telus.

“Segala bantuan ini bukan hanya diberikan bersempena kedatangan Pilihan Raya Umum (PRU) namun kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) setiap tahun menyantuni rakyatnya.

“Kita akan sentiasa meneruskan agenda inisiatif peduli akan rakyat Selangor pada masa akan datang,” katanya.

=EZY=