Categories
NASIONAL

KTMB larang pasang bahan kempen halang operasi tren

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 24 APR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengingatkan jentera parti politik yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) supaya tidak memasang bahan kempen di kawasan pentadbiran dan operasi tren.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rani Hisham Samsudin berkata, perkara itu bagi mengelakkan bahan kempen terkena pada Alat Talian Atas (Overhead Line) berarus 25KV, yang boleh menyebabkan gangguan terhadap operasi tren dan keselamatan penumpang serta krew.

“Kita mahu memastikan tren dapat beroperasi dengan lancar sepanjang kempen pilihan raya dan hari mengundi, justeru saya berharap pihak yang menjalankan kempen tidak memasang bahan di kawasan larangan untuk mengelakkan insiden tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Kawasan larangan yang dinyatakan termasuk jejantas (Rail Over Bridge), sepanjang landasan iaitu pagar, tiang kabel elektrik dan papan tanda, stesen, terminal, depoh, stokereta, kuarters juga bangunan KTMB.

Justeru, Rani berkata, orang ramai yang melihat sebarang keadaan sehingga menjejaskan operasi tren boleh memaklumkan kepada anggota polis bantuan KTMB berdekatan atau hubungi Pusat Kawalan Polis Bantuan di talian 03-22631194.