Categories
GLOBAL

Kemalangan di Toronto: 9 maut, 16 cedera

TORONTO 24 APR: Sembilan maut, manakala 16 cedera selepas sebuah van merempuh laluan pejalan kaki di sebatang jalan yang sibuk di tengah bandar raya ini, ketika waktu makan tengah hari.

Bagaimanapun, pihak berkuasa enggan mengulas lanjut mengenai punca kejadian yang mendorong seorang lelaki memandu van sewa milik Ryder System Inc ke arah pejalan kaki pada jam 1.30 petang (waktu tempatan), semalam.

Menurut polis, lelaki terbabit berjaya diberkas selepas dihalang daripada meneruskan tindakannya yang dianggap disengajakan itu.

Media tempatan yang memetik seorang saksi melaporkan, suspek dipercayai sengaja menyasarkan mangsa ketika merempuh laluan pejalan kaki sejauh 1.6 kilometer itu.

“Siasatan ini akan mengambil masa yang panjang,” kata Timbalan Ketua Polis Toronto, Peter Yuen pada sidang media selepas mengumumkan jumlah kematian mangsa dalam insiden itu.

Sementara itu, pihak hospital berkata, lima mangsa yang kini dirawat di Pusat Perkhidmatan Kesihatan Sunnybrook berada dalam keadaan kritikal akibat kecederaan serius yang dialami.

Menteri Keselamatan Awam Kanada, Ralph Goodale pula enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai faktor yang mendorong kejadian itu.

SUMBER: REUTERS