OLEH HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 16 APR: Kuantan FA bakal berdepan hukuman berat selepas gagal turun dalam aksi Liga Perdana menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam dan perlawanan terpaksa dibatalkan.
Dalam kenyataannya, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memaklumkan, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan mengemukakan cadangan membatalkan penyertaan Kuantan FA dalam saingan Liga Perdana 2018 kepada Lembaga Pengarah MFL.
“MFL berlaku adil kepada pegawai dan pemain dengan membantu membayar gaji sebulan melalui geran pasukan 2018 dengan harapan ia dapat memberi peluang kepada pengurusan pasukan untuk menyelesaikan masalah dan terus mengharungi liga,” katanya.
Katanya, MFL menerima banyak jaminan di mana mereka akan menyelesaikan semua masalah dengan penajaan baru yang akan masuk, namun ia tetap gagal dan satu keputusan harus dimuktamadkan.
“Lembaga Pengarah MFL dan FAM sudah tentu memandang serius perkara ini dan satu hukuman setimpal pasti menyusul bukan sahaja kepada pasukan tetapi kepada individu berkaitan bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam bola sepak tempatan lagi,” katanya.
Terdahulu, aksi Liga Perdana antara Kuantan FA dan PDRM di Stadium Shah Alam, dibatalkan kerana pasukan itu gagal hadir ke stadium dalam masa ditetapkan sehingga perlawanan dimulakan.
Ia menyaksikan pengadil mengesahkan perlawanan dibatalkan dengan PDRM diberi kemenangan 3 – 0 dan meraih tiga mata.