OLEH SABIRAH AZIZ
SHAH ALAM, 7 APR: Malaysia kini telah bersedia untuk harapan baru, selain kehidupan yang lebih baik dan adil untuk rakyatnya.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pilihannya sudah jelas sama ada rakyat mahu kekal pada takuk lama atau bergerak ke hadapan bersama-sama sebagai rakyat Malaysia.
“Sudah tiba masanya kita meninggalkan ketakutan, skandal dan perpecahan masa lampau kerana masa depan Malaysia dan rakyat ada di tangan kita.
“Lebih penting lagi, Pilihan Raya Umum ke-14 penting untuk memperkukuhkan dan menghidupkan demokrasi sebagai prinsip asas kehidupan kita sebagai warganegara.
“Justeru itu, sekali lagi saya menyeru semua rakyat Malaysia terutamanya generasi muda untuk mengundi,” katanya.
Beliau juga berharap pihak berkuasa akan membenarkan semua parti politik berkempen secara aman dan memberikan ruang seluas yang mungkin.
“Semua parti politik patut mempunyai tempoh berkempen yang cukup dan akses penuh kepada media perdana.
“Di samping itu, saya percaya Pakatan Harapan menawarkan pilihan terbaik untuk Malaysia, rakyat dan masa depan kita bersama.
“Saya juga akan berusaha sebaik mungkin untuk meyakinkan rakyat Malaysia dan pengundi di kawasan saya,” katanya.
=EZY=