Categories
NASIONAL SENI

PPIM persoal kelulusan filem Dukun klasifikasi P13

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 4 APR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempersoalkan kelulusan tayangan filem kontroversi, Dukun, dengan klasifikasi P13.

Presidennya, Datuk Nadzim Johan berkata, PPIM menerima banyak maklum balas dan rungutan daripada pelbagai pihak berdasarkan trailer filem itu dikatakan mempunyai unsur tidak sesuai ditayangkan dalam kategori berkenaan.

“Ada pandangan ibu bapa antaranya agak risau dengan keluarnya filem yang berbelas tahun tak keluar, nampak gaya ramai menunggu.

“Ini filem sensasi yang kita lihat promosinya boleh bawa kegusaran pada ibu bapa dan pendidik yang persoalkan kenapa klasifikasinya untuk 13 tahun ke atas kerana ia mungkin boleh bawa kesan negatif,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PPIM, Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, pengarah filem yang juga Penasihat Industri Kreatif PPIM, Ahmad Idham.

Nadzim berkata, ia antara perkara menarik perhatian ramai kerana filem P13 kebiasaannya mengandungi unsur seram, aksi negatif, suspen dan mengejutkan tetapi tidak berlebihan.

Kategori P13 merujuk filem yang memerlukan penonton berumur di bawah 13 tahun diberi pengawasan dan bimbingan ibu bapa atau penjaga ketika menonton.

Filem Dukun lakunan Datin Paduka Umie Aida sepatutnya ditayangkan pada 2006 tetapi ditangguhkan beberapa kali dan hanya diluluskan untuk tayangan kepada umum mulai esok.

Naskah arahan Dain Said itu dikatakan mengisahkan seorang dukun melakukan perbuatan dan pembunuhan dengan aksi kejam.

=EZY=