OLEH AFIX REDZUAN
GLOBAL, 12 APR: Cristiano Ronaldo meleburkan impian Juventus ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan gol minit akhir permainan bagi membolehkan Real Madrid mara menerusi agregat 4-3.
Aksi di Santiago Bernabeu awal pagi tadi menyaksikan Real Madrid tewas 1-3 kepada wakil kelab Itali itu.
Mario Mandzukic memulakan kebangkitan bertenaga Juventus dengan gol seawal minit kedua selepas menanduk hantaran Sami Khedira bagi kedudukan 1-0.
Juventus terus garang mendahului juara 12 kali itu 2-0 dengan gol kedua Mandzukic, pada minit ke-37.
Kesilapan penjaga gol Real Madrid, Keylor Navas yang gagal mendakap kemas bola pada minit ke-61 dihukum Balaise Matuidi apabila mudah menolak masuk bola bagi membolehkan Juventus mengikat kedudukan agregat 3-3.
Ketika perlawanan bakal dilanjutkan ke masa tambahan, Medhi Benatia melakukan kesilapan apabila mengasari Lucas Vazquez pada masa kecederaan di dalam kotak penalti dan pengadil Michael Oliver tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti buat pasukan tuan rumah.
Malang berganda buat Juventus apabila penjaga gol, Gianlugi Buffon dilayangkan kad merah selepas membantah keputusan itu dan ulang tayang menunjukkan beliau melakukan sentuhan ke atas pengadil.
Cristiano Ronaldo memanfaatkan peluang itu apabila menyepak tinggi ke bahagian atas sebelah kanan gawang untuk menewaskan penjaga gol gantian Juventus, Wojciech Szczesny bagi gol tunggal yang melayakkan Real Madrid terus mara ke separuh akhir dengan agregat 4-3.