Categories
NASIONAL

Anwar bebas jam 11 pagi esok

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 MEI: Jawatankuasa Pengampunan Diraja akan membincangkan permohonan mendapatkan pengampunan untuk Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada jam 11 pagi esok.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, lembaga pengampunan itu diawalkan dari jam 5 petang ke jam 11 pagi.

“KEADILAN menerima makluman bahawa mesyuarat lembaga pengampunan pada Selasa, 15 Mei, diawalkan dari jam 5 petang ke jam 11 pagi.

“Oleh itu, semua penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dijemput hadir ke Hospital Rehabilitasi Cheras, pada jam 10.30 pagi bagi menyambut pembebasan beliau,” katanya dalam kenyataan.

Pada Februari 2015, Anwar menjalani hukuman lima tahun penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan Fitnah II membabitkan bekas pembantu peribadinya.

Anwar yang dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh sepatutnya dibebaskan, pada 8 Jun ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menyatakan kesediaan baginda untuk memberi pengampunan segera kepada Anwar.