OLEH SHEEDA FATHIL
SHAH ALAM, 3 MEI: Calon N.10 Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli tidak menyangka dirinya terpilih sebagai salah seorang penyandang kerusi kawasan berkenaan.
Memetik laporan MalaysiaKini, Juwairiya, 33, tidak sangka apabila secara tidak sengaja menjadi calon KEADILAN, pada saat akhir selepas pendaftaran calon asal parti itu, G Sivamalar ditolak pegawai pengurus pilihan raya (RO) bertugas.
Pencalonan Sivamalar ditolak kerana alamat rasmi tidak sepadan dengan alamat di negeri berkenaan.
Mykad Sivamalar mencatatkan alamatnya di Pahang, sedangkan beliau mahu bertanding di Bukit Melawati, Selangor.
Juwairiya berkata, beliau hadir ke pusat penamaan calon pagi itu dengan niat mahu menyokong Sivamalar, namun tidak menyangka keadaan menjadi sebaliknya.
“Pagi itu, saya datang agak lewat ke pusat penamaan calon, kira-kira jam 9.30 pagi (untuk menyokong Sivamalar).
“Tiba-tiba Sivamalar meluru keluar, pangil-pangil pun (dia) tak dengar. Semua orang tertanya-tanya apa yang berlaku.
“Kemudian saya dapat panggilan telefon (daripada) Presiden KEADILAN (Dr Wan Azizah Wan Ismail), dia kata, ‘Ju, pergi sekarang di dewan (penamaan calon) dan ganti Sivamalar, ini rezeki kamu’. Saya kata okay,” katanya.
Juwairiya mengakui keadaan sedikit kelam kabut, malah beliau sendiri tidak tahu apa yang perlu dilakukan termasuk tidak mempunyai surat watikah daripada parti dan wang deposit RM8,000 seperti disyaratkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk calon bertanding kerusi DUN.
“Kawan-kawan di luar semua kumpul, mereka yang bantu. Siapa boleh keluarkan duit RM8,000 untuk deposit hulur.
“Wang itu berjaya dikumpulkan beberapa minit sebelum tempoh pendaftaran berakhir,” katanya.
Malah, Juwairiya lega apabila surat watikah pelantikannya yang ditaip dan dihantar melalui e-mel, pada minit-minit terakhir diterima RO.
DUN Bukit Malawati menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Juwairiya dengan calon Barisan Nasional, Jakiran Jacomah dan calon PAS, Muhammad Rashid Muhammad Kassim.