Categories
PENDIDIKAN

Ciptaan pensyarah UNISEL sumbang pingat di ITEX 2018

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 15 MEI: Pameran Ciptaan, Inovasi dan Teknologi (ITEX’18) menyaksikan kemenangan berpihak kepada dua pensyarah Universiti Selangor (UNISEL), Muhammad Nazir Mohammed Khalid dan Mohd Fadzli Ahmad, Sabtu lalu.

Menerusi program yang berlansung selama tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu, kedua pensyarah berkenaan berjaya membawa pulang pingat emas melalui ciptaan aplikasi Smart Al-Fatihah dan Rapid Cells Regenerative Device.

Pingat perak turut dimenangi tiga pensyarah UNISEL, Profesor Dr Sharr Azni Harmin (Produk VitElisa), Profesor Madya Dr Mohd Raja Tariqi Raja Lope Ahmad (Produk Multi M2M Controller) dan Muhammad Fairuz Abdul Rauf (Produk Rehabilitation for Parkinson Disease Patient Using Exergame).

Terdahulu, ITEX menjadi landasan peneraju di rantau ini bagi mempamerkan reka cipta, teknologi dan produk baru sejak dianjurkan kali pertama, 29 tahun lalu.

Sejak enam tahun lalu, pameran itu berjaya memaparkan lebih 1,000 reka cipta dan inovasi baru setiap tahun melalui kerjasama rakan strategik dan menjadi bukti kepada keupayaan masyarakat di Malaysia mereka cipta perkara baru di setiap peringkat umur bermula daripada pelajar muda sehingga profesor di universiti.

Pada tahun ini, ITEX’18 mendapat penyertaan dari 20 negara antaranya China, Jerman, Korea dan Turki serta tampil dengan tema ‘Nyalakan Kreativiti Anda’ bagi memberi aspirasi kepada orang ramai untuk memikirkan penyelesaian atau inovasi yang boleh meningkatkan kualiti hidup.