Categories
SELANGOR

Isu penstrukturan air dijangka selesai dalam tempoh terdekat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MEI: Kerajaan Negeri dijangka akan menyegerakan proses memuktamadkan penstrukturan industri air di Selangor dalam tempoh terdekat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, proses memuktamadkan perkara itu sememangnya menjadi agenda utama Kerajaan Negeri.

“Sekarang Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) kawan kita, Putrajaya juga kawan kita.

“Sememangnya agenda utama Kerajaan Negeri adalah untuk memuktamadkan penstrukturan industri air yang tertangguh, sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan Majlis Angkat Sumpah Simpan Rahsia Rasmi, di SUK, di sini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melaksanakan pelan jangka panjang yang menggabungkan industri air negeri di bawah satu syarikat pengendali senaraian awam dengan perkhidmatan lebih cekap, efektif, berdaya saing dan mampan.

Bagaimanapun, langkah berkenaan tidak diteruskan secara berkesan ekoran langkah penangguhan penstrukturan baru yang dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

Ia tergangguh disebabkan isu pengambilalihan ekuiti Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) yang gagal dimuktamadkan susulan kelewatan Kerajaan Persekutuan sebelum ini menyatakan nilai sebenar pengambililah ekuiti berkenaan.

Bagaimanapun di peringkat Kerajaan Negeri, nilai pengambilalihan sudah dibuat menerusi lantikan panel penilai pentadbiran Selangor.

=EZY=