OLEH NORHAYATI UMOR
SUBANG JAYA, 4 MEI: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) terus komited memastikan Selangor mencapai status negeri terbersih, di Malaysia.
Pengarah Urusannya, Ramli Tahir berkata, usaha itu akan terus menjadi agenda utama walaupun tanpa modal tinggi.
Katanya, matlamat utama KDEBWM adalah memastikan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mendapat perkhidmatan sama walaupun menerima peruntukan berlainan.
“Walaupun peruntukan rendah tetapi perkhidmatan kami akan diperkasakan dan kerja akan dijalankan secara maksimum di setiap PBT.
“Setakat ini, KDEBWM tidak gagal kerana kami sentiasa meningkatkan perkhidmatan dan diaudit serta mempunyai rekod pencapaian,” katanya kepada SelangorKini.
Ramli berkata setakat ini, pihaknya berjaya mengutip 2,000 tan sampah sehari dan dijangka akan meningkat kepada 6,000 tan selepas mengambil alih tujuh PBT lain, hujung tahun ini.
Katanya, pihaknya optimis cabaran yang diberikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akan tercapai.
“Sememangnya cabaran Dato’ Menteri Besar diambil apabila mula mengambil alih Majlis Perbandaran Klang( MPK), sebelum ini.
“Mandat yang diberikan ini tidak dianggap sebagai cabaran tetapi amanah dan tanggungjawab, justeru saya yakin KDEBWM akan berjaya melaksanakannya,” katanya.
Terdahulu, syarikat milik penuh Kerajaan Negeri itu mengambil alih sisa pepejal dan pembersihan awam di MPK, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang dan Majlis Daerah Kuala Langat.
Tujuh PBT lain akan diambil alih hujung tahun ini secara berperingkat iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Perbandaran Kajang.
Ia termasuk Majlis Daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.