Categories
SELANGOR

e-World 2.0 dukung agenda Smart Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 4 MEI: Mendukung agenda Smart Selangor, Worldwide Holdings (Worldwide) menerusi pengurusan sisa pintar akan membangunkan sistem elektronik dalam talian, e-World 2.0, hujung tahun ini.

Pengurus Besar Bahagian Alam Sekitar Worldwide, Zamri Abdul Rahman berkata, sistem itu akan membabitkan pengumpulan sisa industri.

Katanya, e-World 1.0 dilancarkan tahun lalu sebagai landasan pendaftaran, pemudahcara urusan rekod dan dokumentasi pengurusan alam sekitar serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Pengurusan sisa pepejal di Selangor diharap dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh menerusi dalam talian menjelang hujung tahun ini.

“Kami juga berharap ia dapat digunakan sebagai saluran untuk semua rakyat mengetahui jumlah sebenar pembuangan sisa pepejal haram,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Selangor Synergies 3: Sustainable Synergies in Selangor, di Hotel Empire, di sini.

Zamri berkata, setakat ini terdapat 3,000 trak berdaftar menggunakan sistem e-World.

Katanya, e-World atau Sistem Electronic Worlwide Online Registration Landfill Data Management itu juga membolehkan PBT memantau dan mengurus maklumat trak kontraktor secara lebih efisien.

“Melalui sistem ini, pemantauan boleh dilakukan secara harian oleh PBT tanpa perlu menunggu pemandu trak menyalurkan semula maklumat kepada mereka.

“Penggunaan sistem e-World juga memudahkan semua dokumen dan data disatukan secara lebih sistematik dan tepat, tanpa perlu bimbang data yang disalurkan bercampur aduk,” katanya.

Terdahulu, kaedah melalui sistem itu juga mesra teknologi dan boleh diakses serta dikemas kini menggunakan data internet rendah seperti pendaftaran melalui Whatsapp.