Categories
SELANGOR

Keharmonian kaum dan agama masyarakat Hulu Selangor utuh

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 29 MEI: Hubungan antara kaum dan sesama umat Islam di Hulu Langat kekal utuh walaupun memiliki pelbagai latar belakang pelbagai idealogi politik.

Pegawai Daerah Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, keharmonian itu terus dikekalkan walaupun pada masa ini rakyat di daerah terbabit masih rancak membicarakan isu pertukaran kerajaan menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) baru-baru ini.

“Umat Islam khasnya masih mengukuhkan lagi ukhuwah Islamiah meskipun mempunyai pandangan aliran politik yang berbeza.

“Kematangan rakyat jelata di dalam menerima keputusan pilihan raya yang menjadi detik sejarah apabila berlaku pertukaran kerajaan buat kali pertama sejak merdeka membuktikan rakyat menghormati proses demokrasi seperti yang termaktub dalam perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyembah ucapan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya Kepada Fakir, Miskin dan Saudara Kita serta Perasmian Masjid di Masjid Ar-Rahmah di Kampung Sungai Buaya, Rawang di sini, malam tadi.

Mohd Fauzi berkata, beliau dan seluruh rakyat Hulu Selangor bertekad akan sentiasa mengekalkan keharmonian yang telah terjalin di bawah naungan kasih baginda sebagai payung yang menaungi rakyat jelata.

Katanya, beliau bersama ketua-ketua jabatan di Daerah Hulu Selangor juga sentiasa berkerjasama dan bersungguh-sungguh dalam menjunjung titah baginda untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat sekaligus meneruskan agenda pembangunan serta kesejahteraan daerah ini.

=EZY=