Categories
NASIONAL

Lapan peti besi milik Najib berjaya dibuka

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 21 MEI: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman mengesahkan lapan peti besi dari kediaman rasmi milik bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berjaya dibuka, semalam.

Perkara itu dimaklumkan Pengarahnya, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, kepada NST Online bahawa peti besi terbabit berjaya dibuka dengan bantuan dua tukang kunci selepas beberapa jam berusaha membukanya, di Seri Perdana.

Penggeledahan di kediaman peribadi bekas perdana menteri itu serta lima lagi lokasi lain adalah sebahagian daripada siasatan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (IMDB) oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang dimulakan, pada 16 Mei lalu.

Laporan itu menyebut peti besi berkenaan tidak mengandungi sebarang wang tunai atau barang berharga lain.

Terdahulu, sebuah lagi peti besi di kediaman Najib di Jalan Langgak,Taman Duta, juga dibuka selepas lebih dua hari diusahakan.

Peti besi terbabit dimaklumkan oleh bekas perdana menteri itu tidak dibuka lebih 20 tahun dan tidak lagi digunakan kerana kuncinya hilang.

Ia hanya mengandungi wang tunai lama, mata wang asing serta beberapa dokumen termasuk sijil nikah bekas perdana menteri itu dengan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.