Categories
NASIONAL

Kementerian Pertahanan perlu siasat audit UPNM

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 MEI: Centre For Malaysian Political And Economic Transcendence (Competent) mahu Kementerian Pertahanan menjalankan siasatan penuh terhadap Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Ketua Eksekutif Competent, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, ia berhubung isu pembaziran bersangkutan projek Kem Kongkoi milik UPNM yang dibina pada 2014 dengan kos RM 2.29 juta dibuat tanpa melalui proses perolehan sempurna.

Katanya, pengurusan teruk projek itu sudah dilaporkan melalui Laporan Ketua Audit Negara 2014, namun UPNM memberikan maklum balas bahawa mereka akan meminta jurutera profesional memperbetulkan lukisan kejuruteraan supaya sama dengan kualiti bangunan dihasilkan.

“Pihak UPNM juga memberikan maklum balas kepada audit bahawa proses tender tidak dibuat kerana mereka inginkan pembinaan dijalankan secepat mungkin. Hasrat membina Kem Kongkoi dibincangkan di dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU), pada 2013 dan 2014.

“Namun, kenyataan ini menimbulkan keraguan kerana dokumen minit mesyuarat LPU 2013 dan 2014 itu hanya disahkan pada 2015 selepas projek ini ditegur di dalam Laporan Ketua Audit Negara,” katanya menerusi satu kenyataan.

Selain itu, Competent turut menerima laporan terdapat pensyarah berstatus kontrak UPNM diberikan gaji terlalu lumayan sehingga membebankan belanjawan tahunan.

Katanya, dilaporkan RM60 juta digunakan untuk emolumen pensyarah berstatus kontrak sedangkan hanya RM30 juta diperuntukkan untuk membayar semua kakitangan berstatus tetap termasuk pensyarah dan staf sokongan.

“Amalan perbelanjaan sebegini adalah bertentangan dengan universiti awam lain yang mula mengurangkan bilangan staf kontrak sesuai dengan potongan peruntukan daripada kerajaan.

“UPNM perlu diberikan perhatian khusus oleh Kementerin Pertahanan dan Kementerian Pendidikan supaya kebajikan pelajar serta staf terjaga baik,” katanya.