Categories
SELANGOR

‘Made in Paya Jaras’ berniaga secara percuma

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 28 MEI: Pengusaha produk kecil-kecilan dipelawa menyertai Karnival Jualan Kuih, Biskut & Baju Raya ‘Made In Paya Jaras’ yang bakal berlangsung, pada 31 Mei hingga 14 Jun ini.

Ahli Dewan Negerinya, Mohd Khairuddin Othman berkata, penyertaan program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Paya Jaras itu adalah percuma, dengan penyediaan kelengkapan asas seperti bekalan elektrik, meja dan khemah.

“Karnival pertama kali diadakan ini bertujuan membantu meningkatkan pendapatan rakyat setempat bagi menyambut Aidilfitri dengan membantu mempromosi barangan hasil tangan orang Paya Jaras.

“Kami sediakan 40 tapak dan setakat ini sambutan sangat baik tetapi perlulah melalui pengeluar produk itu sendiri sahaja, bukan orang tengah atau pemborong,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, tawaran berniaga secara percuma itu dibuka khusus untuk warga Paya Jaras sama ada ibu tunggal, perseorangan atau keluarga yang mengusahakan produk sendiri secara kecil-kecilan.

Mohd Khairuddin berkata, pihaknya akan melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk memastikan produk terbabit diusahakan sendiri.

“Masih terdapat beberapa tapak kosong yang boleh ditempah. Jika ada yang berminat boleh hubungi talian 018-2714791,” katanya.