OLEH SYAZWANI SUFIAN
PETALING JAYA, 10 MEI: Kemenangan Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) membawa kegembiraan buat seorang otai reformasi selepas hampir 20 tahun perjuangannya menegakkan keadilan rakyat dirasakan tercapai.
Abdul Halim Che Endut, 61, dilihat masih kuat dan bersemangat hadir ke Padang Timur, di sini, bersama isteri dan tiga anakperempuannya serta melaungkan reformasi, sekitar jam 3 pagi.
Beliau aktif menyokong parti itu sejak 1998 ketika zaman pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa kepada terbentuknya gerakan reformasi yang turut mengakibatkan penangkapan beliau.
“Saya dah tunggu 20 tahun untuk tukar kerajaan dan menolak korupsi Barisan Nasional (BN).
“Kini, penantian dan perjuangan yang saya terapkan kepada keluarga serta anak sejak kecil berakhir kerana kita mahukan masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang.
“Siapa yang mahu lihat anak membesar dalam keadaan ekonomi teruk dan mereka terpaksa menanggu kos sara hidup yang tinggi. Oleh itu, memang sejak dari kecil saya sudah mendidik dan menanam sifat perjuangan PAKATAN kepada mereka,” katanya kepada SelangorKini sambil melaungkan reformasi.
Hadir sama, isterinya, Rakiah Mohd, 63, yang juga bersemangat menunggu sehingga lewat malam menanti keputusan rasmi SPR walaupun dalam keadaan uzur, malahan satu-satunya penyokong yang hadir dalam keadaan berkerusi roda.
Beliau tidak penat menunggu dan keputusan kemenangan itu cukup berbaloi buatnya menanti, sehingga lewat malam.
Sementara itu, anak kedua mereka, Nur Amirah Abdul Halim, 27, berkata beliau dan adik-beradik lain tidak dibawa berkempen
“Sekarang, apa yang kami harapkan adalahh manifesto yang dibentangkan PAKATAN dapat dilaksanakan dengan bagus.
“Namun, jika parti itu mengulangi kesilapan sama seperti BN, maka suara rakyat lebih besar dan kita terus perjuangkan tukar untuk kerajaan lebih baik tanpa sebarang korupsi,” katanya.
Selain Amirah, dua lagi adik-beradiknya adalah Nurain, 29 dan Nur Fatiha, 28.