Categories
SELANGOR

Perpustakaan baru buat penduduk Lembah Jaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 29 MEI: Sebuah perpustakaan baru akan dibina di kawasan perumahan Taman Sri Ampang sebagai inisiatif menggalakkan amalan pembudayaan membaca dalam kalangan masyarakat.

Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Haniza Talha berkata, pembinaan perpustakaan baru itu dibangunkan atas kapasiti keperluan infrastruktur penduduk setempat.

Beliau berkata, pembinaannya juga dibuat untuk menggantikan perpustakaan lama yang dipindahkan dari lokasi asal, bagi memberi laluan kepada projek pembangunan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), di Ampang.

“Tapak perpustakaan baru ini lebih luas dengan kemudahan bangunan lebih besar untuk komuniti setempat.

“Saya berharap kemudahan ini akan dapat menggalakkan warga Lembah Jaya untuk membaca,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Haniza berkata, pembangunan projek perpustakaan baru itu juga dibuat menggunakan insentif kewangan perpustakaan baru terbabit.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri terbuka mendukung usaha pembaikan bagi menjadikan kawasan Lembah Jaya lebih ceria.

“Komitmen ini selaras hasrat menjadikan Lembah Jaya sebagai perbandaran selesa dan ceria untuk komuniti,” katanya.