Categories
SUKANKINI

Piala Uber: Malaysia gagal saingi Indonesia

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 MEI: Malaysia kalah tipis 2 – 3 kepada Indonesia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D pada pusingan akhir Piala Uber di Bangkok, Thailand, semalam.

Skuad badminton wanita negara bermula baik dengan kemenangan perseorangan pertama, Soniia Cheah mengalahkan Fitriani Fitriani, 21-10, 17-21, 14-21 namun tidak kekal lama apabila Indonesia menyamakan kedudukan melalui perlawanan kedua dalam acara begeru dengan Greysia Polii – Apriyani Rahayu mengatasi Goh Yea Ching – Lee Meng Yean (21-13, 21-14).

Indonesia terus di depan dengan 2 – 1 apabila Gregoria Mariska menjinakkan Goh Jin Wei (22-20, 21-16) dalam perlawanan ketiga, perseorangan kedua.

Cabaran Malaysia berakhir pada perlawanan keempat apabila begeru kedua, Chow Mei Kuan – Vivian Hoo yang berusaha gigih untuk menyamakan kedudukan namun tewas kepada Della Destaria – Rizki Amelia dengan keputusan 24-22, 20-22, 21-12 untuk Indonesia mendahului dengan tiga perlawanan berbalas satu.

Perseorangan kedua, Selvaduray Kisona menjadikan keputusan 2 – 3 dalam perlawanan terakhir dengan mengalahkan Ruselli Hartawan dalam tiga set, 23-21, 21-23, 13-21.

Malaysia akan bertemu juara bertahan, China dalam perlawanan kedua hari ini.