Categories
SUKANKINI

PKNS-JDT terikat tanpa jaringan

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 28 MEI: Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa akur diikat tanpa jaringan oleh PKNS FC, pada aksi Liga Super, malam tadi.

Perlawanan yang berlansung di Stadium Shah Alam itu menimbulkan rasa kurang selesa bagi kedua pasukan untuk mencari rentak permainan.

Permukaan padang yang basah dan berlecak ekoran hujan menyebabkan permainan hambar ditunjukkan dalam tempoh 35 minit pertama serta tiada percubaan tepat berjaya dilakukan.

Percubaan tepat pertama muncul, pada minit ke-35 menerusi percubaan Jorge Santos, namun tandukannya mudah ditangkap penjaga gol PKNS FC, Mohd Shahril Sa’ari.

Pelawat menguasai separuh masa kedua, namun beberapa gerakan dilancarkan tetap gagal menembusi gawang PKNS selepas Shahril cemerlang menidakkan percubaan Mohd Nazmi Faiz Mansor, pada minit ke-56 dan rembatan deras Safawi Rasid lima minit berselang.

Memasuki 15 minit terakhir perlawanan, PKNS mula bermain secara bertahan setiap asakan JDT yang berusaha keras memburu gol, namun keputusan kekal 0-0 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Namun, skuad Harimau Selatan itu tetap selesa mendahului saingan liga dengan enam mata mengatasi pencabar terdekat, Perak dan impian mereka untuk beraksi di Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim hadapan dilihat masih berada dalam laluan tepat.

Kredit foto: PKNS FC