Categories
NASIONAL

Tun M mula tugas sebagai PM

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 11 MEI: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkongsi gambar pertama menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri Malaysia baharu, di laman Instagramnya.

Menerusi akaun ‘chedetofficial’, beliau memuat naik gambar sedang bermesyuarat dan gambar nota tulisan tangannya berkenaan perkara yang dibincangkan di Yayasan Albukhary, di ibu negara berserta kapsyen ‘First day on the job… once again’.

Turut kelihatan dalam mesyuarat itu adalah Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng; Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Ketua Usaha Sekretariat Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Saifuddin Abdullah.

Turut dimuat naik dua keping gambar sidang berita Tun Mahathir di bangunan sama, sebelum beliau beredar untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Negara yang terletak tidak jauh dari situ.

Tun Mahathir secara rasmi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ketujuh, di hadapan Yang Dipertuan Agong (YDPA), Sultan Muhammad V, malam semalam.

Ini adalah kali kedua beliau menjadi perdana menteri, manakala kali pertama memimpin negara, pada 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003.