OLEH AFIX REDZUAN
GLOBAL, 3 MEI: Roma gagal menyekat kemaraan Liverpool untuk melangkah ke pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan agregat, 7-6 walaupun menang bergaya, 4-2 di Stadium Olympico, awal pagi tadi.
Sadio Mane melenyapkan sorakan penyokong Roma dengan gol pertama Liverpool seawal minit kesembilan.
Berpunca daripada kesilapan hantaran ke belakang Radja Nainggolan, Roberto Firmino pantas melarikan bola bagi membuka ruang di sebelah kiri disusuli lorongan kepada Mane yang berjaya melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan penjaga gol, Alisson Becker untuk kedudukan 0-1.
Kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Roma menyamakan kedudukan, pada minit ke-15 hasil jaringan sendiri, James Milner.
Kesilapan Dejan Lovren mengeluarkan tandukan Lorenzo Pellegrini memakan diri apabila sepakannya terkena kepala Milner dan melantun masuk ke dalam gawang Liverpool tanpa mampu diselamatkan penjaga gol, Loris Karius.
Bagaimanapun, Liverpool kembali mendahului perlawanan 1-2 hasil tandukan Georginio Wijnaldum, pada minit ke-25 selepas berjaya memanfaatkan kesilapan Edin Dzeko yang gagal menanduk keluar sepakan penjuru Milner dengan kemas.
Stephan El Shaarawy hampir menjadikan kedudukan 2-2, pada minit ke-35 apabila rembatannya terkena Milner tetapi sekadar singgah ke tiang gol Liverpool.
Bersambung babak kedua, kesilapan Karius hampir menghadiahkan sepakan penalti buat Roma apabila menjatuhkan Dzeko, pada minit ke-49 tetapi beliau terlebih dahulu berada dalam kedudukan offside.
Akhirnya Dzeko menebus kesilapan apabila mudah meletakkan bola ke gawang Liverpool bagi kedudukan 2-2 di minit ke-52 selepas memanfaatkan peluang terhidang hasil percubaan awal El Sharaawy.
Cengiz Under turut terlepas peluang meletakkan Roma di hadapan apabila tampanannya berjaya diselamatkan Karius, pada minit ke-60.
Masuk minit ke-85, Nainggolan akhirnya meletakkan Roma mendahului Liverpool, 3-2 selepas melepaskan rembatan kencang yang terkena tiang sebelum masuk memperdaya Loris Karius.
Ketika perlawanan masuk ke masa tambahan, Roma dihadiahkan sepakan penalti selepas Ragnar Klavan tertampan bola menggunakan tangan.
Nainggolan tenang menyempurnakannya bagi keputusan 4-2 memihak Roma untuk meleburkan rekod tanpa kalah skuad bimbingan Jurgen Klopp dalam kancah UCL musim ini.
Namun, ia gagal menyekat kemaraan Liverpool yang bakal bertemu juara bertahan, Real Madrid pada perlawanan akhir di Kyiv, Ukraine, pada 27 Mei ini.
Kredit Foto: UEFA Champions League