Categories
SUKANKINI

Imran cemerlang di F4F Rusia

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 21 JUN: Peserta muda negara, Imran Zakaria, menampilkan persembahan membanggakan dalam Projek Sosial Kanak-Kanak Antarabangsa ‘Football For Friendship’ Gazprom (F4F) 2018 di Moscow, Rusia.

Pelajar berusia 12 tahun berperanan sebagai jurulatih muda untuk Grevy’s Zebra dalam Kejohanan Antarabangsa Persahabatan Gazprom (FIC), berpuashati dengan persembahan pasukannya walaupun gagal dalam pusingan kelayakan.

“Saya gembira diberi peluang menyertai program ini yang membantu saya menjalin hubungan dengan lebih ramai kawan dari pelbagai negara dan bermain bola sepak bersama.

“Program latihan sebelum kejohanan memberi saya kesempatan melatih pemain muda dan membantu mereka meningkatkan kemahiran dalam bola sepak

“Ini pengalaman luar biasa dan saya berharap untuk mengambil bahagian dalam lebih banyak kejohanan di masa depan,” katanya.

FIC diadakan di Stadium Sapsan Arena, Moscow, disertai 32 pasukan dengan Grevy’s Zebra dibimbing Imran diwakili pemain dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sweden, Mexico, Aruba dan Mesir.

Program F4F diadakan mulai 8 hingga 15 Jun lalu bersempena dengan Kejohanan Bolasepak Piala Dunia 2018 Rusia, membabitkan penyertaan kanak-kanak dari 210 negara dari seluruh dunia.

Selain Imran, seorang lagi peserta negara ialah Lauren Hoh, 12, yang diberi peranan sebagai wartawan muda dalam program berkenaan.

Penyertaan kali pertama peserta Malaysia ini pada program F4F keenam memberi peluang Imran dan Lauren terbabit dalam upacara perasmian Piala Dunia 2018.

Mereka juga berpeluang menyaksikan perlawanan sulung antara Russia dan Arab Saudi di Stadium Luzhniki, 14 Jun lalu.