Categories
NASIONAL

Kementerian Pertahanan sedia kerjasama bersama media

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 21 JUN: Kementerian Pertahanan bersedia memberi kerjasama kepada semua agensi media mendapatkan laporan dan maklum balas untuk dihebahkan kepada rakyat.

Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata, sejak Mohamad Sabu dilantik sebagai Menteri Pertahanan, pihaknya menerima banyak permohonan dari media untuk mengadakan wawancara khas.

“Memandangkan jadual yang agak padat, kita perlu mengatur sesi wawancara secara berkumpulan.

“Sejak 28 Mei sehingga 12 Jun lalu, lima siri wawancara diadakan membabitkan 18 agensi media, termasuk media cetak, elektronik dan dalam talian, manakala baki selebihnya akan menyusul, namun tertakluk kepada jadual menteri.

“Sehubungan itu, kementerian bersedia dan terbuka membantu bagi memastikan setiap media berkenaan memberikan laporan terbaik,” katanya dalam kenyataan.

Bagi tujuan itu, Kementerian Pertahanan akan menganjurkan Majlis Hari Raya dalam masa terdekat dan menjemput semua agensi media untuk memeriahkannya.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengambil maklum teguran berhubung layanan dan kesukaran media mendapatkan akses serta jawapan daripada Mohamad Sabu.

Katanya, pihak media juga dinasihatkan untuk memaklumkan lebih awal dan menggunakan saluran betul jika mahu menemu bual Menteri Pertahanan.

“Mengulas isu jawapan balas daripada Menteri Pertahanan melalui aplikasi whatsapp peribadi beliau, pihak kami ingin memaklumkan terdapat isu yang perlu diteliti dan mendapatkan pandangan dari pihak berkaitan terlebih dahulu sebelum sebarang reaksi dikeluarkan.

“Manakala berhubung isu kawalan keselamatan yang ketat, kementerian memaklumkan kepada pengiring rapat (close escort) untuk membenarkan rakyat bergambar dengan Menteri Pertahanan, namun masih menitikberatkan faktor keselamatan,” katanya.