Categories
NASIONAL

KOPETRO hulur juadah berbuka kepada polis trafik

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (KOPETRO) menyantuni 200 anggota polis trafik dari Kontinjen Kuala Lumpur dengan memberi sumbangan juadah berbuka puasa, di Balai Polis Bandar Trafik Jalan HS Lee, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif KOPETRO, Abdol Alim Yaacob berkata, program itu bertujuan menghargai jasa polis trafik yang bertungkus lumus melaksanakan tugas, terutama pada bulan Ramadan.

“Anggota polis trafik ini bekerja tidak kira masa hanya untuk memastikan kelancaran trafik sepanjang Ramadan sehingga ada antara mereka tidak sempat menjamah juadah berbuka.

“Kesabaran dan ketelusan mereka menjalankan tanggungjawab tidak kira apa jua keadaan wajar dijadikan contoh kepada masyarakat. Mereka sanggup berkorban masa dan tenaga,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sumbangan juadah berbuka puasa itu hasil sumbangan KOPETRO dan merupakan salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Terdahulu, Abdol Alim mengetuai KOPETRO menyampaikan sumbangan berkenaan kepada pasukan polis trafik yang diketuai Timbalan Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Supritendan Sarifudin Mohd Saleh.