Categories
NASIONAL

Ops Raya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia 2018 dilancarkan

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengadakan Ops Raya JBPM 2018 secara bersepadu dengan koordinasi bersama agensi lain selama 15 hari, bermula 8 hingga 22 Jun ini.

Ketua Pengarahnya, Mohd Hamdan Wahid berkata, JBPM sudah mengenalpasti 18 lokasi strategi sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dan LPT II.

“Setiap lokasi ini ditempatkan satu unit FRT/LFRT dengan kekuatan tujuh pegawai dan satu unit EMRS bersama tiga pegawai, sepanjang ops ini berkuatkuasa,” katanya pada program Pelancaran Ops Raya JBPM 2018, di sini, hari ini.

Mohd Hamdan berkata, berdasarkan analisa Ops Raya 2017, sebanyak 3,354 kes panggilan kebakaran dicatatkan berbanding hanya 2,400 kes, sepanjang Ops Raya 2016.

Hamdan berkata, kes panggilan kemalangan jalan raya pula mencatatkan peningkatan 156 kes sepanjang ops raya 2017 berbanding 129 kes, pada ops raya tahun sebelumnya.

Manakala, panggilan penyelamat pula mencatatkan 2,095 kes pada Ops Raya 2017 berbanding 1,449 kes, tahun sebelumnya.

“Pada ops raya ini, pegawai JBPM akan bertugas selama 24 jam secara bergilir bagi bersedia menangani insiden membabitkan kebakaran dan kerja penyelamatan seperti kemalangan jalan raya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hamdan menggesa supaya orang ramai memastikan bekalan elektrik yang tidak digunakan dimatikan, ketika bercuti.

“Berdasarkan statistik JPBM tahun lalu, sebanyak 29,356 kes dilaporkan dan daripada jumlah itu sebanyak 1,737 adalah berpunca daripada elektrik,” katanya.