Categories
SELANGOR

Pastikan pimpinan Selangor kekal bersih-Anwar

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 JUN: Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari memimpin Selangor berlandaskan mandat rakyat dan bekerja sebagai pasukan.

Beliau berkata, Amirudin juga perlu memastikan pimpinan dan jentera Kerajaan Negeri kekal bersih dari rasuah, sifat bermewah serta pembaziran.

“Saya ingin ucapkan tahniah dan selamat menggalas amanah kepada saudara Amirudin atas pelantikannya sebagai Menteri Besar Selangor ke-16,” katanya dalam kenyataan.

Anwar turut berharap dengan pelantikan itu, Amirudin dapat membawa Selangor terus maju. sekali gus menjadi contoh kepada negeri lain.

“Berteraskan asas kukuh dibina Kerajaan Negeri pimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini, Selangor berjaya menjadi negeri contoh kepada seluruh negara.

“Semoga Selangor terus dibangun dengan makmur,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Sungai Tua itu memulakan tugas sebagai Dato’ Menteri Besar baharu, pagi tadi.

Hadir di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan disambut Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Amirudin terus diiringi ke tingkat 21 bangunan itu lalu mengetip kad perakam waktu.

Semalam, Amirudin mengangkat sumpah memegang jawatan Menteri Besar Selangor, di Istana Alam Shah.

Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah Amirudin berlangsung di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.