Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Piala FA: Selangor tamat kemarau 9 tahun, layak ke final

SHAH ALAM 30 JUN: Gergasi Merah menamatkan kemarau sembilan tahun apabila layak ke peringkat akhir Piala FA dengan agregat 5-1 menundukkan PKNS FC apabila seri 1-1 di Stadium Shah Alam.

Lawan Selangor di peringkat akhir bakal ditentukan antara PKNP FC dan Pahang di Stadium Perak, Ipoh, malam esok.

Kali terakhir Selangor beraksi pada final Piala FA 2009 yang menyaksikan Red Giants merangkul kejuaraan kelima selepas menewaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti.

Selangor yang selesa mendahului hasil kemenangan 4-0 pada separuh akhir pertama di Cheras pads 23 Jun lalu, turun tanpa sebarang tekanan.

Selangor hampir menjarakkan kedudukan menerusi sepakan percuma menarik Amri Yahyah yang berjaya diselamatkan penjaga gol, Tauffiq Rasyid Johar pada minit ke-23.

PKNS yang terdesak mencari gol juga mendapat peluang untuk memecah kebuntuan menerusi dua percubaan Safee Sali dan Rafael Ramazotti pada minit ke-51, namun kedua-duanya diselamatkan penjaga gol, Khairul Azhan Khalid.

Penyerang berbisa Selangor, Rufino Segovia menambah tekanan PKNS selepas meledak gol pembukaan pada minit ke-71, sekali gus menutup peluang buat anak buah Datuk K Rajagobal untuk bangkit selepas ketinggalan dengan agregat 0-5.

PKNS bagaimanapun berjaya memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-90 menerusi Alif Haikal Sabri, namun ia sudah terlambat untuk menyekat langkah Selangor ke final di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 7 Julai ini.